JPJ Sabah Perkukuh Jalinan Dengan Media, Fokus Tingkat Kesedaran Keselamatan Jalan Raya

KOTA KINABALU: 7 Oktober 2025 — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah melakar satu inisiatif baharu apabila buat julung kalinya menganjurkan Sesi Libat Urus Bersama Media, bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dan memperluas penyebaran maklumat berhubung dasar serta inisiatif jabatan itu.

Program yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu menghimpunkan pengamal media kerajaan dan swasta bagi mempererat hubungan dua hala serta meningkatkan kefahaman bersama terhadap pelaksanaan dasar dan penguatkuasaan JPJ di peringkat negeri.

Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali, berkata hubungan erat antara JPJ dan media amat penting bagi memastikan maklumat mengenai program jabatan dan kempen keselamatan jalan raya dapat disampaikan secara lebih meluas kepada masyarakat.

Beliau menegaskan bahawa JPJ komited memperkukuh pendekatan berasaskan advokasi, di samping tindakan penguatkuasaan bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya terhadap kepentingan keselamatan dan pematuhan undang-undang.

Ketika ini, JPJ Sabah sedang melaksanakan Operasi Kenderaan Perdagangan, termasuk penguatkuasaan penggunaan Speed Limitation Device (SLD) yang diwajibkan oleh Kementerian Pengangkutan. Operasi turut menumpukan kepada pemeriksaan teknikal dan pemakaian tali pinggang keselamatan bagi memastikan semua kenderaan mematuhi piawaian keselamatan.

Menurut Mohd Harris, pendekatan advokasi turut diterapkan kepada pengusaha dan penumpang bas bagi meningkatkan kesedaran mengenai pemakaian tali pinggang keselamatan, faktor penting yang mampu mengurangkan kecederaan serius dan kematian akibat kemalangan jalan raya.

Hasil pemeriksaan di PUSPAKOM antara 1 hingga 2 Oktober lalu mendapati 49 kenderaan perdagangan tidak dilengkapi SLD, dan JPJ telah mengeluarkan Notis 114 bagi pemeriksaan serta tindakan lanjut.

Dalam pada itu, JPJ Sabah turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam memperkukuh kawalan trafik dan keselamatan jalan raya menjelang Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Timbalan Pengarah JPJ Sabah, Sapiah Putit, serta Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan Sabah, Diana Dominic.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada agensi-agensi media yang banyak membantu JPJ dalam memperluas capaian maklumat dan memperkukuh kempen keselamatan jalan raya di negeri ini.

Sumber: JAPEN Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal