Joniston gesa pengundi muda pilih calon GRS
Mohd Syukrie Johary
TUARAN: Penyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) diminta memberikan sokongan padu kepada calon GRS untuk menawan kerusi Parlimen Tuaran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Calonnya Datuk Joniston Bangkuai, berkata hanya dengan sokongan kuat daripada penyokong gabungan itu dapat memastikan GRS berjaya merampas kawasan itu semula daripada pembangkang.
“Kejayaan GRS dalam PRU15 ini dapat mengembalikan mandat rakyat kepada kerajaan, sekaligus memudahkan pelaksanaan pembangunan di kawasan ini.
“Hanya menerusi wakil rakyat kerajaan sahaja semua pembangunan dirancang dapat dilaksana dengan lancar dan berkesan,” katanya selepas proses penamaan calon di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, kemenangan GRS dalam pilihan raya kali ini akan dapat mengembalikan kestabilan politik di Sabah.
Katanya, kestabilan politik mampu menjamin ekonomi negeri akan kembali pulih seperti sedia kala.
Beliau yakin pengundi muda bakal menentukan keputusan pilihan raya kali ini, dengan memilih wakil rakyat yang mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan berkesan.
– Tv Sabah News
0 Comments