Joniston calon Tuaran demi kepentingan pengundi
TUARAN: Keputusan untuk meletakkan Datuk Joniston Bangkuai sebagai calon adalah untuk kepentingan pengundi parlimen di Tuaran, kata Ketua Menteri dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Sehubungan itu, beliau mahu semua penyokong dan jentera parti bekerja keras bagi memastikan kemenangan Joniston.
Katanya, Bersatu dan Umno di sini akan membentuk jentera pilihan raya bersama di Sulaman dan Pantai Dalit bagi memastikan kemenangan calon Parlimen Tuaran Datuk Joniston Bangkuai.
Hajiji berkata, kedua-dua parti akan bekerja keras untuk memastikan calon GRS menang selesa pada Pilihan Raya Umum ke-15 di sini.
Bercakap di majlis perhimpunan bersama pemimpin Umno bahagian Tuaran dan Bersatu Tuaran di Dewan Seri Sulaman di sini, Hajiji berkata keputusan meletakkan Joniston yang juga Adun Kiulu dari Parti Bersatu Sabah (PBS) dibuat demi kepentingan pengundi di kawasan itu.
GRS ditubuhkan atas persefahaman bahawa sudah tiba masanya untuk semua bekerjasama untuk membangun Sabah, katanya.
“Kita tidak boleh mengulangi kesilapan lalu. Terlalu banyak berpolitik sehingga tanggungjawab untuk dibangunkan negeri ini negeri ini tidak dilaksanakan,” katanya.
Ketua Menteri berkata, antara sebab Sabah menjadi negeri kedua termiskin di Malaysia walaupun mempunyai banyak sumber adalah kerana terlalu banyak perbalahan politik di antara parti yang berbeza.
“Jadi sudah tiba masanya kita hentikan perbalahan politik ini dan tumpukan perhatian untuk membangunkan negeri,” katanya.
Turut hadir di majlis itu ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai yang akan menjadi calon GRS di Tuaran, Ketua Umno Tuaran dan ketua Barisan Calon Nasional (BN) Kota Belud dan Pembantu Menteri Kewangan Datuk Jasnih Daya yang juga Timbalan Ketua Umno Tuaran dan ADUN Pantai Dalit.
– Tv Sabah News
0 Comments