Kota Kinabalu: 25 Mac 2025 – Institute for Development Studies Sabah (IDS) dan Sabah Credit Corporation (SCC) telah melancarkan Jelajah Keusahawanan Akarumbi Borneo atau “Borneo Grassroots Enterpreneurship Tour” untuk menyebarkan maklumat penting tentang program pembangunan perniagaan kerajaan kepada komuniti luar bandar yang terpinggir.
Demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Dr Ramzah Dambul dalam satu kenyataannya semalam.
Jelasnya, inisiatif itu bertujuan untuk merapatkan jurang komunikasi antara pembuat dasar dan usahawan tempatan, terutamanya wanita muda, dengan menyediakan akses kepada pembiayaan, latihan, dan rangkaian perniagaan yang penting.
Beliau berkata, elemen utama dalam jelajah tersebut adalah program “Dayang” (Inisiatif Pemberdayaan Usahawan Wanita atau Women Entrepreneurs Empowerment Initiative), komponen utama dalam bajet negeri yang direka untuk menawarkan pembiayaan, bimbingan, dan latihan bagi pembangunan perniagaan yang berterusan.
Untuk makluman katanya, jelajah itu akan berlangsung sehingga 3 April, meliputi sepuluh daerah, termasuk Papar, Sook, dan Tuaran, dan menampilkan sesi interaktif yang memudahkan perkongsian pengetahuan dan penglibatan langsung dengan usahawan tempatan.
Dambul berkata, “Dasar-dasar kerajaan hanya berkesan apabila ia sampai kepada rakyat yang sepatutnya menerima manfaatnya. Melalui inisiatif ini, kami bukan sahaja memaklumkan, malah mendengar, melibatkan diri, dan memastikan komuniti tidak terpinggir.”
Beliau menekankan fokus inisiatif ke atas kebolehcapaian dan sokongan kebolehlaksanaan, untuk memastikan dasar kerajaan diterjemah kepada kemajuan yang nyata bagi Sabah luar bandar.