Jelajah Kebun Dapur perkukuh sekuriti makanan Sabah

maffia1

Jamawi (tengah) mengiringi Hajiji (kiri) mendengar penerangan Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah ketika melawat ternakan ayam.

TUARAN: 15 Februari 2026 – Inisiatif Kebun Dapur yang dicetuskan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) merupakan antara langkah strategik memperkukuhkan sekuriti makanan Sabah dan memperkasa ekonomi isi rumah, khususnya di luar bandar.

Menteri MAFFI, Datuk Jamawi Jaafar berkata demikian pada pelancaran Jelajah Kebun Dapur MAFFI di Padang Istiadat, hari ini.

Beliau berkata, program itu mampu mewujudkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penghasilan makanan sendiri termasuk penanaman sayur-sayuran, herba, penternakan kecil dan perikanan air tawar berskala isi rumah.

Menurutnya, amalan kebun dapur telah lama dipraktikkan, kini diteruskan secara lebih tersusun sebagai usaha berterusan kerajaan negeri untuk memperkukuh sekuriti makanan sekali gus memperkasa masyarakat melalui pendekatan pertanian berskala kecil yang praktikal, mudah dilaksanakan dan memberi impak segera.

“Dalam suasana ekonomi semasa yang mencabar dan peningkatan kos sara hidup, keupayaan isi rumah untuk menghasilkan sendiri sebahagian keperluan makanan adalah satu langkah yang bijak dan strategik,” ujarnya.

maffi1b 1

Jamawi (tiga dari kanan), Hajiji (tiga dari kanan) melihat anak pokok nenas MD2.

Jelasnya, sebahagian hasil kebun dapur juga boleh dipasarkan bagi menjana pendapatan tambahan. Sehingga kini, sebanyak 16 Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (APCC) telah diwujudkan, dan sembilan lagi akan dilengkapkan bagi meliputi semua kawasan Parlimen.

“Pendekatan kebun dapur membolehkan keluarga menanam sayur-sayuran serta tanaman jangka pendek secara terancang di samping menjalankan penternakan ikan secara kecil-kecilan, sekali gus mengurangkan perbelanjaan harian dan berpotensi menjana pendapatan tambahan kepada keluarga,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang hadir memberikan sokongan dan semangat kepada peserta program berkenaan.

Jamawi berkata, inisiatif kedua di bawah Kebun Dapur ialah Program Mentor-Mentee yang melibatkan 18 anak muda berusia 40 tahun ke bawah yang dipilih sebagai mentor.

“Mentor-mentor ini akan membantu membimbing dan memajukan anak muda yang berminat menceburi kebun dapur serta bidang pertanian,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa agensi kewangan menawarkan kemudahan pinjaman kepada golongan belia dan usahawan pertanian, termasuk  Perbadanan Pinjaman Sabah yang menawarkan pinjaman sehingga RM50,000 dengan kadar faedah sifar atau rendah, selain kemudahan dari Yayasan Usaha Maju dan Agrobank yang mengenakan kadar faedah serendah tiga peratus.

Selain itu, pendekatan ketiga ialah membawa usahawan bersama industri makanan seperti pengusaha keropok amplang dan sambal ke arah pendigitalan perniagaan.

Menurutnya, ramai usahawan dan selebriti di Semenanjung Malaysia berjaya memasarkan produk secara digital melalui platform seperti TikTok, dan kaedah sama boleh dimanfaatkan oleh usahawan tempatan.

“Saya membawa diri saya sebagai seorang petani, penternak dan pekebun. Saya juga mahu pegawai-pegawai saya mempunyai semangat yang sama dan lebih peka melihat keperluan penduduk setempat,” katanya.

maffib2

Jamawi (tiga dari kiri), Hajiji (tengah) serta tetamu kehormat lain bergambar bersama dengan semua yang hadir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal