KOTA KINABALU: 15 Februari 2026 – Jelajah ‘Beauty With a Purpose’ Sabah 2026 yang menghadirkan Miss World 2025, Opal Suchata dan Miss World Malaysia 2025, Taanusiya Chetty untuk menyaksikan sendiri usaha kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam meningkatkan kehidupan pelbagai lapisan masyarakat Sabah.

Delegasi Miss World
Lawatan delegasi selama lima hari, bermula 5 Februari hingga 10 Februari, itu turut memberi inspirasi dan sinar harapan kepada pelajar universiti, golongan kurang upaya (OKU), pendidik, pesakit dan pekerja kesihatan di hospital, masyarakat kampung dan sukarelawan menjalankan kerja sosial.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HyperLive Entertainment, Dr Sean Wong, jelajah itu telah mencapai misinya dalam membawa impak positif kepada Sabah melalui inisiatif golongan wanita muda, khususnya Miss World.
“Sepanjang lawatan, pasukan jelajah menyaksikan sendiri bagaimana kemajuan Sabah dipandu oleh kepimpinan yang komited, organisasi komuniti yang aktif dan berkongsi rasa tanggungjawab dalam kalangan warganya untuk meningkatkan kehidupan antara satu sama lain,” ujarnya.
Menurutnya, misi ‘Beauty With A Purpose’ direka untuk memberi inspirasi, dorongan dan melengkapi kerja kuat yang sudahpun dilaksanakan oleh agensi kerajaan, institusi pendidikan, hospital, badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin komuniti untuk membawa bersama orang muda, rakan dan sukarelawan menyumbang secara positif dengan cara mereka sendiri.
Delegasi Miss World itu turut disertai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Miss World, Julia Morley CBE, menyaksikan bagaimana kepimpinan dan rakyat Sabah membina persekitaran yang kondusif bagi perkembangan pelancongan sambil menjaga kebajikan penduduk.

Mereka berkesempatan melawat Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) untuk memberikan semangat kepada pesakit kanser kanak-kanak dan menghargai dedikasi pasukan perubatan. Selain itu, kunjungan ke Persatuan Autisme Sabah turut memberikan sokongan moral dan mengiktiraf kemajuan yang telah dicapai.

Morley mengulangi sokongannya kepada Persatuan Autisme Sabah dengan menyumbang RM300,000 untuk pembinaan sekolah baharu yang dilengkapi fasiliti lebih baik, selepas sumbangan awal sebanyak USD10,000 pada tahun 2024. Beliau turut menyumbang USD5,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Kota Kinabalu untuk menyokong program dan sumber pendidikan bagi pelajar pekak dan berkeperluan khas.
Di University College Sabah Foundation (UCSF), delegasi Miss World memberi inspirasi kepada pelajar mengenai kerja sosial, dan universiti tersebut menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Pertubuhan Miss World untuk membangunkan platform “Beauty With a Purpose”.

Delegasi turut melawat Kampung Dambai dan kawasan komuniti luar bandar dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Dan Usahawan Tavan Sabah, menawarkan sokongan moral dan keperluan asas kepada keluarga.

Delegasi Miss World bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu
Selain itu, mereka turut menyertai acara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Menara Jam Atkinson, menekankan kepentingan memelihara warisan dan alam sekitar.
Pada akhir jelajah, diketuai oleh Sean, delegasi berpeluang melakukan kunjungan hormat terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu sebagai tanda penghormatan dan penghargaan terhadap intitusi tertinggi negeri dalam membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat.
