KOTA KINABALU: 21 September 2025 – Timbalan Ketua Menteri I dan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, dengan tegas menafikan tuduhan dan sindiran yang ditimbulkan oleh sesetengah individu dan parti politik berhubung Memorandum Persefahaman (MOU) bernilai RM17 bilion, yang ditandatangani pada 15 Mac 2024 antara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi pihak MAFFI dan Kerajaan Negeri, dengan anak syarikat sebuah syarikat Fortune 500 China, SCEM (Shaanxi Construction Engineering Malaysia Sdn Bhd), untuk projek mitigasi banjir, pengairan dan saliran di Sabah.
Setiausaha politiknya, Anuar Ghani berkata, bertentangan dengan spekulasi, tiada sebarang dana pernah diterima di bawah MOU itu. Dokumen tersebut hanyalah sebagai penyata minat dan tidak mewujudkan sebarang komitmen kewangan yang mengikat.
Jelasnya, MOU tersebut hanya membenarkan syarikat menjalankan kajian kewajaran dan ketekunan wajar di 11 daerah sungai yang dikenalpasti untuk projek mitigasi banjir, pengairan, dan saliran, iaitu Moyog, Petagas, Likas, Putatan, Tawau, Bandau, Kedamaian, Membakut, Padas, Pegalan, dan Dataran Bengkoka.
Menurutnya lagi, perbincangan seterusnya tertumpu kepada struktur pembayaran melalui kredit karbon di bawah Perjanjian Pemuliharaan Alam Sekitar (NCA) dan jualan pasir.
“MOU ini merupakan satu usaha berani untuk memecah “Rantaian Kebergantungan” Sabah terhadap Malaya dengan memanfaatkan dan mengurus sumber semula jadi yang dianugerahkan Tuhan untuk menyelesaikan masalah dan keperluan Sabah, selaras dengan prinsip “Rumah Kita, Kita Jaga”,” katanya.
Beliau menambah, NCA tidak dapat digunakan kerana tentangan dari sesetengah parti politik tempatan, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kepentingan tersendiri, yang juga menjalankan tindakan undang-undang, dan penentangan di dalam perkhidmatan awam. Kerajaan Persekutuan pada 12 Julai 2024, melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, mengharamkan eksport pasir walaupun pasir adalah sumber negeri.
“Tanpa mekanisme pembayaran yang disahkan, SCEM tidak dapat meneruskan projek dan oleh itu, tiada dana yang disalurkan,” tegasnya.
Sebarang perjanjian susulan selepas proses usaha wajar juga akan tertakluk kepada penilaian menyeluruh dan perundingan dengan pihak berkepentingan berkaitan, termasuk Kementerian Kewangan, Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Peguam Negeri, dan kelulusan dari Kabinet Negeri.
Oleh itu katanya, sebarang dakwaan bahawa RM17 bilion telah disalahgunakan atau dialihkan adalah sama sekali tidak berasas dan tiada merit. Kerajaan Negeri menegaskan projek ini tidak pernah dilaksanakan dan oleh itu tiada dana yang pernah diterima sejak awal.
Akibatnya, pembiayaan projek mitigasi banjir, pengairan, dan kini bergantung sepenuhnya pada peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, Ke-14, Ke-15, Ke-16, dan Ke-17, suatu situasi yang amat mengecewakan.
Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey menegaskan semula komitmen MAFFI dan Kerajaan Negeri terhadap ketelusan dan akauntabiliti dalam semua projek masa depan, serta memperkenalkan langkah sokongan yang akan memperkukuh daya tahan Sabah terhadap perubahan iklim, bencana alam dan keselamatan makanan.
“Sebarang sindiran bahawa Kerajaan atau Menteri MAFFI, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, menerima, menyalahgunakan atau menyeleweng sebarang dana MOU yang tidak menjadi kenyataan itu, adalah spekulasi semata-mata, tidak berasas dan merupakan fitnah serta pencemaran nama baik. Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati menyebarkan pembohongan, kenyataan tidak berasas, dan penerbitan palsu,” tegasnya.
