KOTA KINABALU: 28 September 2025 – Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, menggesa kerajaan Persekutuan menghentikan campur tangan berlebihan dalam bidang kuasa negeri yang menurutnya telah menjejaskan kedaulatan dan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata demikian sebagai menyokong kenyataan tegas Yang di-Pertua Negeri Sarawak baru-baru ini yang membangkitkan isu penghakisan kuasa negeri melalui beberapa undang-undang Persekutuan, termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Menurut beliau, masalah di Sabah jauh lebih luas kerana pelbagai undang-undang lain turut menjejaskan hak negeri.
Antaranya ialah Akta Laut Wilayah 2012 yang mengehadkan sempadan maritim Sabah kepada hanya tiga batu nautika sehingga menjejaskan kawalan negeri terhadap sumber luar pesisir.
Selain itu, Akta Perikanan 1985 telah memusatkan kuasa pelesenan di Putrajaya, manakala Akta Bekalan Elektrik 1990 pula menafikan kuasa Sabah dalam pengurusan tenaga.
Katanya, langkah devolusi kuasa yang diberikan kepada negeri selama ini tidak membawa makna kerana Sabah tetap terikat kepada undang-undang Persekutuan dan bergantung kepada budi bicara kerajaan pusat.
Sebaliknya, beliau menegaskan Sabah memerlukan pemulangan penuh kuasa untuk menggubal undang-undang, mengawal selia dan memungut hasil daripada laut serta sumber negeri sendiri.
Jeffrey turut menjelaskan bahawa pencerobohan kuasa Persekutuan selama ini telah menjadikan Sabah lebih miskin, lemah dan bergantung, sekali gus bercanggah dengan janji-janji yang termaktub di bawah MA63.
Beliau menuntut agar semua undang-undang yang melanggar pembahagian kuasa perlembagaan disemak semula bersama Sarawak, selain pemulangan penuh hak hasil negeri termasuk 40 peratus hasil bersih yang dijanjikan.
Menurutnya lagi, hak Sabah bukanlah ihsan dari Putrajaya, sebaliknya satu kewajipan yang telah dipersetujui, dijanjikan dan terlalu lama tertangguh.
Beliau menegaskan sebagai anak Sabah, beliau tidak hanya akan mengulangi suara dari Sarawak, sebaliknya akan memastikan hak negeri ditegakkan, kedaulatan dihormati dan masa depan rakyat dijamin.
