JDT 2 tewas kepada Perak FA di gelanggang sendiri

PASIR GUDANG: 21 September 2025 – Johor Darul Ta’zim 2 (JDT 2) gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila tewas 1-2 kepada Perak FA dalam saingan Liga A1 Semi Pro di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) pada sabtu.

JDT 2 bermula garang sebaik wisel permulaan dengan melancarkan asakan ke gawang pelawat, namun percubaan gagal menepati sasaran setelah pertahanan Perak FA cekap bertahan.

Peluang terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-20 menerusi rembatan Danish Hakimi Sahaludin, tetapi percubaannya tinggi melepasi palang.

Dua minit kemudian, kapten Perak FA, Kamal Arif Azrai Shakimar menyambar bola muntah selepas sepakan percuma, namun gol tersebut dibatalkan pengadil, Mohamad Haziq Iqmal Ayazi kerana ofsaid.

Perak FA akhirnya membuka tirai jaringan pada minit ke-32 melalui Muhammad Rafieq Al-Amzar Zulkifli yang melepasi kawalan pertahanan sebelum merembat deras menewaskan penjaga gol JDT 2, Zulkifli Sharani.

Tersentak dengan gol itu, JDT 2 kembali mengatur serangan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-37 menerusi jaringan pemain import, Celso Jose.

Babak pertama berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Separuh masa kedua menyaksikan Perak FA sekali lagi mencipta kejutan apabila hanya memerlukan seminit untuk menambah gol melalui Muhammad Fadhil Mohammad Azmi yang menyempurnakan hantaran hasil sepakan percuma pada minit ke-46.

Gol itu membangkitkan semangat Perak FA untuk terus mengasak, namun JDT 2 berjaya mengimbangi permainan dan sesekali melancarkan serangan balas. Pada minit ke-76, Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil hampir menambah gol ketiga untuk Perak FA tetapi rembatan leretnya tersasar.

Aksi berbaki perlawanan menyaksikan JDT 2 terus buntu mencari gol penyamaan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Kekalahan ini merupakan yang kedua buat JDT 2 selepas tewas 0-1 kepada Seoul Phoenix pada 16 Ogos lalu.

Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal