Jawatan TPM belum dibincangkan
KOTA KINABALU: Persoalan siapa calon Timbalan Perdana Menteri (TPM) belum diputuskan. Malah tiada sebarang perbincangan dibuat sehingga hari ini di peringkat negeri untuk menentukan sama ada benar-benar jawatan itu akan diadakan atau sebaliknya.
Tidak juga diketahui sama ada cadangan itu dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seperti yang dinyatakan sebelum ini oleh Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Hari ini Timbalan Pengerusi BN Sabah, Datuk Yakub Khan memberitahu pemberita selepas hadir pada Majlis Perasmian Program Digitasi Rekod Mahkamah Anak Negeri (MAN), di sini, bahawa setakat ini jawatan TPM dan siapa calonnya belum dibincangkan di peringkat negeri.
“Setakat ini belum dibincangkan di peringkat negeri dan tiada juga dibincangkan siapa calon,” katanya mengulangi BN Sabah mengalu-alukan jawatan TPM diwujudkan di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Bung dalam kenyataan sebelum ini berkata, pihaknya akan mencadangkan nama pemimpin berkelayakan untuk jawatan berkenaan sebagai bukti komitmen BN dalam melaksanakannya.
Di majlis Gelombang Biru BN di Kimanis minggu lalu, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan untuk mewujudkan tiga jawatan TPM iaitu dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung jika gabungan itu menang besar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Katanya, tiada masalah untuk mewujudkan sehingga tiga jawatan TPM, masing-masing mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung berikutan tiada dinyatakan dalam Perlembagaan Negara mengenai pelantikan jawatan itu.
Yakub yang juga Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah berkata, paling penting jawatan yang dicadangkan dalam manifesto PRU15 untuk Sabah perlu mempunyai kuasa diperlukan dalam membawa perubahan kepada negeri ini dan bukan sekadar perhiasan.
Mengenai agihan kerusi BN-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Yakub memaklumkan bahawa perbincangan mengenainya sudah berada di peringkat akhir dan hanya tinggal untuk dimuktamadkan saja.
“Berkenaan calon, terpulang kepada parti masing-masing tetapi dalam perbincangan kita telah menyatakan agar calon yang diletakkan sama ada dalam kerusi BN mahupun GRS perlu dibincang bersama agar ia adalah calon tterbaik mewakili GRS dan BN itu sendiri,” katanya.
Difahamkan, GRS dan BN Sabah akan membuat pengumuman serentak berhubung calon masing-masing pada PRU15 yang dijangka pada awal minggu depan.
– Tv Sabah News
0 Comments