KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, Nurulalsah Binti Hassan Alban menggesa kerajaan memastikan Rang Undang-Undang Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung 2026 memperkukuh institusi kepimpinan adat tanpa membuka ruang kepada pemusatan kuasa politik.
Membahaskan Rang Undang-Undang itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini, beliau berkata usaha memodenkan sistem pentadbiran adat wajar disokong, namun pembaharuan tersebut perlu disertai mekanisme semak dan imbang untuk menjamin integriti institusi berkenaan.
“Kita mengiktiraf hasrat untuk memodenkan kepimpinan adat, tetapi pemodenan tidak bermaksud pemusatan kuasa. Jangan sampai kuasa adat kita ditelan oleh kuasa politik,” katanya.
Nurulalsah berkata setiap undang-undang yang diluluskan akan memberi kesan kepada kehidupan rakyat, justeru kepimpinan yang diamanahkan perlu sentiasa tertakluk kepada prinsip akauntabiliti.
Beliau membangkitkan beberapa kes penderaan dan gangguan seksual yang pernah berlaku sebagai contoh bagaimana kegagalan pemegang amanah dan kelemahan sistem boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap institusi yang dipertanggungjawabkan menjaga kebajikan rakyat.
Menurutnya, isu yang dibangkitkan bukan semata-mata berkaitan kesalahan jenayah, sebaliknya kegagalan sistem mengambil tindakan terhadap individu yang mengkhianati amanah.
“Apa yang saya cuba ketengahkan pada hari ini bukan semata-mata mengenai perbuatan dera atau gangguan itu sendiri. Yang saya mahu tekankan ialah isu pengkhianatan oleh pemegang amanah dan sistem yang melindungi mereka,” katanya.
Beliau berkata prinsip sama perlu diterapkan dalam RUU itu kerana Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung bukan sahaja pentadbir masyarakat, malah pemegang amanah yang menjaga adat dan warisan masyarakat Sabah.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kuasa pelantikan tidak tertumpu kepada seorang menteri semata-mata. Sebaliknya, pelantikan perlu dibuat dari senarai calon yang diperakukan di peringkat daerah dan komuniti.
Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya masyarakat diberikan hak mengemukakan petisyen kepada Suruhanjaya Mahkamah Anak Negeri untuk menyingkirkan mana-mana Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri atau Ketua Kampung yang didapati menyalahgunakan kuasa atau gagal mempertahankan adat.
“Kalau ketua lupa adat, biarlah adat yang mengingatkan dia,” katanya.
Nurulalsah berkata cadangan itu bukan bertujuan mengehadkan kuasa menteri, tetapi untuk melindungi institusi kepimpinan adat daripada campur tangan politik untuk memastikan setiap keputusan dibuat secara telus dan bertanggungjawab.
Beliau turut menyatakan rasa kecewa apabila cadangan pindaan yang dikemukakannya tidak diterima, namun berharap prinsip yang dibawa dapat dipertimbangkan pada masa hadapan demi memperkukuh sistem kepimpinan adat di Sabah.
Mengakhiri perbahasannya, beliau menegaskan adat bukan sekadar lambang budaya, sebaliknya asas kepada identiti masyarakat Sabah yang perlu dipelihara.
“Adat bukan sekadar simbol, ia adalah jantung masyarakat kita. Jangan biarkan jantung ini dikawal sepenuhnya oleh satu tangan politik,” katanya.

