KOTA KINABALU: Ivan Hii Sieng Wen, 25 tahun, Penampang, telah dipilih sebagai Duta Belia Sepilok Jazz pertama, menandakan langkah baharu dalam usaha FOSTER (Friends of Sea Turtles Education & Research) untuk memupuk bakat muzik muda di Sabah sambil meningkatkan kesedaran tentang pemuliharaan alam semula jadi.
Ivan bertanggungjawab untuk menggalakkan kepimpinan belia, mempromosikan Sepilok Jazz Festival, Bakat Sepilok Jazz dan menekankan peranan festival sebagai platform bukan sahaja untuk muzik, tetapi juga untuk menyokong pemuliharaan penyu dan alam sekitar.

“Harapan saya adalah untuk memperkenalkan Sepilok Jazz dan Bakat Sepilok Jazz kepada lebih ramai orang dan memberi peluang kepada bakat tempatan ke pentas lebih luas. Kami bukan sahaja bermain muzik, tetapi juga menyebarkan kesedaran tentang pemuliharaan alam,” katanya ketika ditemui wartawan Tv Sabah sempena FOSTER Annual Review & Mini Concert 2026 di Mari-Mari Cultural Village, Jumaat lalu.

Beliau merupakan ahli kumpulan jazz Suave Swings, pemenang Bakat Sepilok Jazz 2024, dan pernah membuat persembahan di Sepilok Jazz Festival 2025, selain pelbagai acara korporat, perkahwinan, dan lounge. Beliau juga mengetuai kumpulan RnB dan Pop enam anggota, Dynamics, yang pernah tampil di Sabah Jazz Festival 2023–2024.
Selain pengalaman pentas, Ivan memperluas kemahiran industri melalui latihan di JW Promotions, di mana beliau membantu operasi acara, koordinasi artis, dan penyediaan teknikal. Beliau juga aktif dalam penciptaan kandungan digital, mempromosikan muzik dan persembahan secara maya.
Dengan Diploma Muzik dari Sabah Institute of Art (2019–2023), Ivan mahir dalam persembahan, teori muzik, kerja ensembel, dan rakaman. Beliau juga mengendalikan kelas saksofon persendirian dan menjadi konduktor KK High School Brass Band, menunjukkan komitmennya terhadap pendidikan muzik.
Fasih dalam Bahasa Inggeris, Melayu, dan Cina, Ivan membawa semangat kreativiti, kepimpinan, dan pemerkasaan belia, menjadikannya pilihan tepat sebagai wajah baharu Sepilok Jazz Festival.

Foster ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertujuan memelihara dan memulihara penyu laut di Sabah, setakat ini menjadikan Pulau Libaran, Sandakan sebagai lokasi utama.
Cap: Ivan (kiri), Luqman (Kanan) sedang membuat persembahan
