KOTA KINABALU: 10 September 2025 – Saksi kelima prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Inspektor Maidon Bernadus, mengakui di mahkamah bahawa beliau bukan pakar biomekanik dan tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang itu.
Keterangan itu diberikan ketika beliau disoal peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu mangsa, Noraidah Lamat, pada prosiding hari kelima di Mahkamah Koroner.
Maidon turut mengesahkan bahawa beliau tidak biasa dengan bidang jatuhan biomekanik (fall biomechanics), dan proses rekonstruksi yang dijalankan pasukannya tidak melibatkan kepakaran dalam bidang tersebut.
Beliau juga tidak pasti sama ada perbezaan ketinggian kira-kira 27 sentimeter antara patung simulasi dengan tubuh Zara Qairina boleh mempengaruhi pusat graviti dan jarak jatuhan.
Sebelum ini, Maidon memaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah telah menjalankan simulasi jatuhan di Asrama Blok Rabiatul Adawiyah, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, pada 3 Ogos lalu.
Simulasi itu dikendalikan pasukan D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bermula jam 3 pagi menggunakan cahaya lampu asrama serta lampu tambahan forensik.
Hasil simulasi mendapati jatuhan patung tanpa tolakan atau dorongan hampir menyerupai kedudukan mangsa berdasarkan siasatan awal.
Peguam keluarga mangsa menegaskan bahawa keterangan pakar biomekanik diperlukan bagi menjelaskan sama ada mangsa jatuh sendiri atau ditolak dari tingkat tiga bangunan.
Peguam Mohd Syarulnizam Mohd Salleh berkata laporan pakar patologi hanya menumpukan kepada bedah siasat tanpa analisis pergerakan daya fizikal, justeru kepakaran biomekanik diperlukan untuk memahami punca sebenar kematian.
Inkues yang dipengerusikan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan sebagai koroner dijadual berlangsung selama 17 hari bermula 3 hingga 30 September ini.
Sumber: Buletin TV3