Inkues Zara Qairina, Peguam Dijangka Mohon Jadi Pihak Berkepentingan

KOTA KINABALU: 03 September 2025 – Prosiding inkues bagi menentukan punca kematian allahyarhama Zara Qairina Mahathir bermula hari ini di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan dan dijangka dimulakan dengan permohonan peguam untuk menjadi pihak berkepentingan. Inkues itu dijadual berlangsung selama 17 hari.

Permohonan tersebut dibuat susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Duncan Sikodol, semalam yang mengetepikan keputusan koroner sebelum ini, Azreena Aziz, berhubung penarikan diri selepas pendengaran pada 28 Ogos lalu.

Pada masa sama, Duncan turut mengetepikan semua keputusan yang dibuat koroner terdahulu, namun pihak peguam yang terbabit boleh mengemukakan semula permohonan mereka di hadapan koroner baharu pada prosiding hari ini.

Difahamkan, peguam mewakili keluarga Zara Qairina dan peguam mewakili tertuduh kanak-kanak dalam kes buli membabitkan lima remaja yang dikaitkan dengan kematian Zara di Mahkamah Kanak-Kanak dijangka membuat permohonan itu. Peguam keluarga sebelum ini tidak bersetuju dengan permohonan peguam pihak tertuduh kerana berpendapat pertarungan mereka sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Kanak-Kanak, bukan dalam prosiding inkues.

Sekiranya dibenarkan sebagai pihak berkepentingan, peguam-peguam berkenaan boleh terbabit dalam prosiding termasuk mengemukakan soalan kepada saksi yang dipanggil pihak pendakwa raya dari Jabatan Peguam Negara (AGC) selaku Pegawai Pengendali.

Prosiding inkues akan berlangsung hari ini dan esok, sebelum bersambung pada 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September serta 22 hingga 30 September. AGC memaklumkan seramai 70 saksi akan dipanggil, termasuk pakar patologi yang menjalankan bedah siasat ke atas jenazah arwah sebagai saksi utama.

Inkues ini diadakan selepas permintaan keluarga Zara Qairina melalui peguam mereka pada awal bulan lalu sebagai usaha mengenal pasti punca kematian. Arwah meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 17 Julai lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya di Kinarut, Papar sehari sebelumnya.

Selain itu, kuburnya turut digali semula pada 9 Ogos untuk tujuan bedah siasat, sebelum jenazahnya dikebumikan semula pada 10 Ogos.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal