KOTA KINABALU: 11 September 2025 – Seorang bekas guru besar sekolah rendah, Kamul Kamarudin, 61, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengugut pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu, yang menjadi saksi pertama prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Marlina Ibrahim, dengan Kamul didakwa menggunakan akaun Facebook bernama Amung Kamaruddin untuk menulis ugutan terhadap Dr Hiu.
Ancaman itu dibaca oleh Dr Hiu pada petang 5 September lalu di Taman Luyang, Kota Kinabalu, dan didakwa bertujuan menimbulkan kegusaran.
Kesalahan tersebut dikemukakan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, serta denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan berterusan selepas sabitan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin tempatan dan menetapkan 29 September depan untuk pengurusan praperbicaraan.
Selain itu, syarat tambahan turut dikenakan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lovely Natasha Charles bersama Eugenie Meredith Gilbert, manakala tertuduh diwakili peguam Elhanan James.
Peguam bela memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya seorang pesara guru besar dari Semporna, penduduk tempatan Sabah, tidak berisiko melarikan diri, dan telah memberikan kerjasama penuh kepada polis selepas ditangkap pada 8 September lalu.
Difahamkan, ancaman itu berkait dengan keterlibatan Dr Hiu dalam inkues pada 3 dan 4 September, di mana beliau memberi keterangan mengenai punca kematian pelajar berusia 13 tahun tersebut.
Sumber: Buletin TV3

		
		
		
		