Inisiatif Kerajaan Ringankan Beban Rakyat

photo 2026 03 15 21 58 29

KOTA KINABALU: 15 Mac 2026 — Kerajaan Negeri Sabah menyambut baik pelbagai inisiatif Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan bagi membantu rakyat, khususnya penyaluran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang dijangka meringankan beban kewangan rakyat membuat persiapan menjelang Aidilfitri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, langkah tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, terutama golongan yang memerlukan.

Beliau berkata, kerajaan turut menyediakan bantuan khas sebanyak RM400 menerusi program FlySiswa kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak sempena cuti Hari Raya.

“Kerajaan Negeri turut menambah bantuan sebanyak RM600 kepada pelajar anak Sabah yang menuntut di Semenanjung dan Sarawak sebagai subsidi tiket penerbangan untuk pulang ke kampung halaman,”.

“Bagi pelajar yang menuntut di dalam negeri pula, mereka akan menerima bantuan RM300 seorang untuk menampung kos perjalanan pulang menyambut Aidilfitri,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 bersama Perdana Menteri di Dewan Kuliah Pusat Ke-2, Universiti Malaysia Sabah.

Tambahnya, pelbagai insentif yang diperkenalkan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri mencerminkan komitmen berterusan dalam membantu rakyat dan memperkukuh kesejahteraan masyarakat.

photo 2026 03 15 22 04 48

Hajiji turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri dalam usaha memperkukuh pembangunan negara dan memacu kemajuan ekonomi.

Menurutnya, Malaysia mencatat rekod pelaburan tertinggi dalam sejarah tahun lalu sebanyak RM426.7 bilion, meningkat 11 peratus berbanding tahun sebelumnya, melibatkan lebih 8,000 projek pelaburan yang berpotensi mewujudkan 244,902 peluang pekerjaan kepada rakyat.

Beliau berkata pengukuhan nilai ringgit turut mencerminkan keyakinan pelabur terhadap hala tuju ekonomi negara di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI.

Sebelum menghadiri majlis berkenaan, Perdana Menteri bersama Ketua Menteri turut meninjau Bazar Ramadan dan menyantuni rakyat di kawasan Universiti Apartment (UA), Sepanggar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal