Tuaran, 6 Julai 2025 – Sabah melancarkan Projek Pembangunan Sumber dan Industri Kerang yang dijangka mampu menjana pendapatan tahunan sehingga RM34.4 juta, selari dengan agenda pembangunan ekonomi berasaskan sumber laut atau Ekonomi Biru.
Projek yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Borneo Beach and Mangrove Resort, Tuaran, mensasarkan hasil pendaratan kira-kira 3,240 metrik tan kerang darah setahun dengan pulangan pelaburan dianggarkan 7.6 kali ganda. Ia turut membuka peluang eksport baharu menerusi produk hiliran seperti sambal kerang, kerang dalam tin, dan makanan berasaskan kerang darah.

Projek tersebut dikatakan akan dilaksanakan dalam dua fasa melalui kerjasama Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Jabatan Perikanan Malaysia dan Jabatan Perikanan Sabah.
Fasa pertama melibatkan kajian pemetaan dan penerokaan sumber dari Oktober 2024 hingga Mei 2025 di enam lokasi berpotensi, termasuk Tuaran dan Beluran.
Fasa kedua yang dijadual bermula pada 2026 akan memfokuskan kepada pemindahan teknologi dan pelaksanaan lapangan.
Sebanyak 77 lot akuakultur dikenal pasti dengan keluasan 1,617 hektar, 12 lot di Tuaran dan 65 di Beluran. Setiap lot akan dikendalikan oleh 10 ketua isi rumah (KIR), melibatkan seramai 770 peserta utama yang terdiri daripada usahawan perikanan, komuniti luar bandar, dan kumpulan B40.
Dianggarkan peserta mampu meraih pendapatan antara RM4,800 hingga RM6,500 sebulan sekiranya hanya 40 peratus daripada kawasan ini beroperasi pada tahap optimum.
Projek tersebut turut menyokong wawasan menjadikan Sabah antara peneraju dalam landskap Ekonomi Biru serantau, dengan nilai global sektor ini dijangka mencecah USD3 trilion menjelang 2030.
Sumber, Bernama