KOTA KINABALU: 02 Februari 2026 — Seramai 8 pendatang asing tanpa izin ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah dalam Operasi Gegar di sekitar Kota Kinabalu, 29 Januari lalu.
Sepanjang operasi, seramai 278 individu diperiksa, terdiri dari warganegara tempatan dan warga asing.
Hasil pemeriksaan mendapati 8 PATI ditahan, membabitkan 3 lelaki dewasa dan 5 wanita dewasa, masing-masing warganegara Filipina dan Indonesia.
Operasi penguatkuasaan itu dikendalikan oleh Unit Operasi Imigresen, Bahagian Penguatkuasa Kota Kinabalu, melibatkan seramai 40 pegawai.
Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah memaklumkan operasi penguatkuasaan itu akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin di negeri ini.
Sumber : Jabatan Imigresen Sabah
