KOTA KINABALU: 7 Julai 2026 – Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) mencipta sejarah apabila berjaya melaksanakan pembedahan pemisahan pasangan kembar siam jenis pygopagus pada 2 Julai lalu, sekali gus membuktikan keupayaan perkhidmatan kepakaran di Sabah mengendalikan kes anomali kongenital yang kompleks.

Menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), pembedahan berkenaan dilakukan di Dewan Bedah Utama HWKKS dengan penglibatan pasukan pelbagai disiplin termasuk pakar dari Semenanjung Malaysia.
Pasangan bayi perempuan pra-matang berusia 32 minggu dari kawasan pedalaman Sabah itu menjalani pembedahan ketika berusia 28 hari selepas salah seorang daripadanya mengalami masalah jantung dan kegagalan buah pinggang, sekali gus memerlukan prosedur pemisahan dilakukan lebih awal berbanding kebiasaan pada usia antara empat hingga enam bulan.

Kembar siam jenis pygopagus ialah keadaan apabila dua bayi bercantum pada bahagian tulang punggung (sacrum), salur saraf (neural tube), bahagian bawah saluran pencernaan dan alat kelamin.
Pembedahan itu dijayakan menerusi kerjasama pasukan Neonatologi, Anestesiologi, Pembedahan Pediatrik, Pembedahan Otak dan Saraf Tulang Belakang (Neurosurgeri), Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Radiologi, selain jururawat dan kakitangan sokongan klinikal yang lain.

Menurut JKNS, kedua-dua bayi berjaya dipisahkan dan kini berada dalam keadaan stabil, dan sedang menerima pemantauan rapi di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) HWKKS.
Jelas JKNS, kejayaan itu membuktikan komitmen HWKKS dalam menyediakan rawatan terbaik kepada kanak-kanak yang mengalami anomali kongenital kompleks.

“Perluasan kepakaran khusus di Sabah membolehkan kanak-kanak yang menghidap penyakit anomali kongenital kompleks menerima akses rawatan dengan lebih cepat, di samping mengurangkan beban emosi, kewangan dan logistik yang perlu ditanggung oleh keluarga,” menurut kenyataan itu.
Kejayaan berkenaan turut memperkukuh keupayaan sistem kesihatan Sabah dalam menyediakan rawatan kepakaran berteknologi tinggi di wilayah ini, sekali gus mengurangkan keperluan merujuk pesakit ke hospital di Semenanjung Malaysia untuk kes-kes tertentu.


