KOTA KINABALU: 10 Ogos 2025 – Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, menolak dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bahawa pentadbiran Parti Warisan Sabah (Warisan) pada 2019 berjaya melangsaikan hutang RM1 bilion yang diwarisi dari kerajaan terdahulu.
Masidi menjelaskan, hutang berkenaan adalah Bon Kerajaan Negeri Sabah (2014/2019) yang diterbitkan pada Disember 2014 semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Bank Negara Malaysia ketika itu menetapkan syarat penubuhan Sinking Fund atau Kumpulan Wang Amanah Bagi Bayaran Balik Bon, dengan kewajipan kerajaan negeri menyimpan RM200 juta setiap tahun selama lima tahun sebagai langkah perlindungan kewangan.
“Apabila Warisan mengambil alih pentadbiran pada 2018, wang untuk membayar balik hutang itu hampir lengkap. Malah, pada 2019 jumlah dalam Sinking Fund sudah mencecah RM1 bilion, membolehkan bayaran penuh dibuat secara sekali gus,” katanya.
Beliau menegaskan, pembayaran itu bukan hasil inisiatif langsung kerajaan Warisan, sebaliknya berkat perancangan kewangan berhemat oleh pentadbiran terdahulu.
“Kerajaan negeri berpegang kepada prinsip ketelusan dalam menyampaikan maklumat kewangan kepada rakyat dan tidak akan membiarkan kenyataan yang mengelirukan tanpa penjelasan,” tambahnya.
Sumber: Sabah Media
