HPPK 2025 Perkasa Usahawan Mikro, Jana Impak Ekonomi RM5 Juta

Gambar DEB Di HPPK Temerloh

TEMERLOH: 2 November 2025 – Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2025 anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berjaya mencatat impak ekonomi RM5 juta hasil gabungan nilai jualan melebihi RM1 juta dan potensi pembiayaan RM4 juta sepanjang tiga hari penganjuran di Lurah Semantan, Temerloh, Pahang.

Lebih 800 usahawan mikro, termasuk peserta Satu Daerah Satu Industri (SDSI), penjaja dan peniaga kecil dari seluruh negara mengambil bahagian, manakala kehadiran lebih 45,000 pengunjung membuktikan sokongan kukuh rakyat terhadap sektor ini sebagai pemangkin ekonomi tempatan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata HPPK 2025 menjadi platform penting memperkukuh ekosistem keusahawanan mikro melalui latihan, bimbingan dan pendigitalan perniagaan. KUSKOP memberi tumpuan kepada usaha memperluas penggunaan pembayaran tanpa tunai, e-dagang dan pemasaran digital dalam kalangan peniaga mikro.

Pendigitalan ini dilaksanakan melalui agensi KUSKOP seperti Bank Rakyat, INSKEN, SME Corp. Malaysia, TEKUN Nasional dan SKM, antaranya menerusi inisiatif ‘Khemah Jajahan Rakyat’ oleh Bank Rakyat yang menyediakan pembiayaan mikro, nasihat kewangan dan bimbingan digital kepada usahawan akar umbi.

Penganjuran HPPK turut memberi manfaat besar kepada komuniti setempat apabila lebih 800 bilik hotel dan inap desa ditempah penuh, di samping peningkatan ketara dalam jualan peniaga tempatan sepanjang program berlangsung.

Majlis penutupan rasmi disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, yang mewakili Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Bertemakan “Memacu Ekonomi MADANI, Memperkasa Usahawan Mikro”, HPPK 2025 menzahirkan komitmen Ewon dan KUSKOP dalam memperkukuh ketahanan serta kemampanan ekonomi rakyat melalui pendigitalan, pembiayaan inklusif dan latihan keusahawanan berterusan, seiring aspirasi Ekonomi MADANI.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!


 

This will close in 5 seconds

TV Sabah | News Portal