Himpunan Sekitar 20 Ribu “Justice for Zara” Cetus Gelombang Solidariti di Keningau

KENINGAU: 17 Ogos 2025 – Sekitar 20 ribu penduduk Keningau berhimpun di Padang Kompleks Sukan Keningau dalam perhimpunan aman “Justice for Zara”, meredah hujan renyai yang turun sepanjang program semalam.

Perhimpunan penuh emosi itu disifatkan antara yang terbesar pernah diadakan di Sabah, bukan sahaja kerana jumlah kehadiran, tetapi kerana semangat kebangsaan yang dizahirkan melalui nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku yang bergema penuh semangat.

Kehadiran Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, mengukuhkan lagi mesej solidariti apabila perjuangan rakyat itu dikongsi bersama dengan para pemimpin negeri.

Penganalisis tempatan melihat penyertaan ribuan peserta sebagai isyarat lantang bahawa rakyat Sabah menuntut keadilan bukan sahaja untuk Allahyarham Zara Qairina binti Mahathir, malah menolak segala bentuk ketidakadilan yang dirasakan masih membelenggu Sabah sejak pembentukan Malaysia.

Suara-suara yang berkumandang sepanjang himpunan turut mengingatkan tentang pentingnya prinsip Kedaulatan Undang-undang yang termaktub dalam Rukun Negara, bahawa ia tidak membawa apa-apa makna sekiranya gagal ditegakkan dengan tegas dan adil.

Biarpun padang dibasahi hujan, laungan solidariti dan nyanyian patriotik memancarkan mesej jelas bahawa perjuangan yang digerakkan ini bukan sekadar retorik, sebaliknya lahir dari tekad kolektif rakyat.

Dari Keningau, gema tuntutan itu terus melangkaui sempadan daerah dengan satu mesej utama: keadilan untuk Zara adalah keadilan untuk seluruh rakyat Sabah dan Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal