KUANTAN: 22 September 2025 – Harimau Malaya menepati ramalan apabila meraih kemenangan bergaya 7-1 ke atas Bangladesh dalam aksi kedua Kelayakan Piala Asia Futsal di Stadium Tertutup Sukpa.
Skuad kendalian Rakphol Sainetngam bermula cemerlang menerusi jaringan Awalluddin Mat Nawi pada minit ketujuh, namun Bangladesh pantas menyamakan kedudukan seminit kemudian melalui Fayed Azim.
Malaysia kembali menguasai permainan dengan rentak agresif apabila menambah jaringan menerusi Danial Dain (16’), Mahadir Harahap Khairuddin (18’, 28’), Syahir Iqbal Khan (23’), Saad Sani (36’) dan Faris Johan (36’).
Walaupun Bangladesh cuba memberi tentangan awal, barisan negara bangkit lebih bertenaga untuk mendominasi permainan, sekali gus menundukkan benteng lawan yang dikawal Jahid Hassan Rabbi.
Kemenangan ini membolehkan Malaysia menghuni tangga kedua Kumpulan G di belakang Iran, sekali gus mengukuhkan peluang mara ke pusingan seterusnya.
Sumber: Harian Metro