KOTA KINABALU : 27 Ogos 2025 – “Hari Sabah bukan sekadar peringatan sejarah, tetapi perlu diraikan dengan konsep tersendiri, dan sebagai usaha pendidikan supaya sambutannya lebih bermakna serta memberi kesan mendalam kepada rakyat khususnya generasi muda,” tegas Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan dalam sidang media setelah selesai sesi Forum Hari Sabah, di Dewan Wisma Pertanian hari ini.
Beliau turut menekankan kepentingan usaha pendidikan untuk memperluas pemahaman generasi muda mengenai Hari Sabah, dengan memasukkan sejarah Hari Sabah, Perjanjian Malaysia, laporan IGC, dan Perjanjian 20 Perkara ke dalam sukatan pelajaran sekolah.
“Hari Sabah bukan sahaja diraikan atas sebab sejarah sahaja, tetapi juga menggambarkan maksud dan implikasi sebenar sambutan ini. Kita mahu sambutan lebih bermakna, lebih mendalam dan melibatkan semua pihak,” jelas beliau.

Jeffrey mencadangkan beberapa kaedah memperkukuh identiti Hari Sabah, antaranya menggubal konsep atau identiti asas (DNA) Hari Sabah, memperkenalkan lagu tema rasmi, menganjurkan pertandingan berasaskan konsep sambutan, dan penetapan tarikh sambutan tidak bertindih dengan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.
Selain itu, beliau mencadangkan Hari Sabah turut diraikan di Semenanjung Malaysia sebagai usaha meningkatkan pengiktirafan terhadap sejarah dan identiti Sabah di peringkat nasional.
“Forum ini sangat menarik kerana bukannya pembentangan kertas kerja, tetapi panel diminta menjawab pelbagai soalan, termasuk dari peserta secara fizikal dan dalam talian, yang menjadikan perbincangan lebih dinamik,” katanya, sambil menekankan bahawa pendekatan itu memberi peluang kepada hadirin untuk berinteraksi secara langsung dan mendalami isu yang dibincangkan.
Selain Jeffrey, forum itu turut menampilkan Profesor datuk Dr. Danny Wong Tze Ken Dekan fakulti Seni dan sains Sosial Universiti Malaya, Datuk Dr. Ramzah Dambul Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), dan Profesor Madya Dr. Mohd Sohaimi Esa Pensyarah Kanan (Sejarah dan Hubungan Etnik) sebagai ahli-ahli panel, sementara Datuk Zainie Abd. Aucasa Pengerusi Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) sebagai moderator, memberikan pengalaman komunikasi yang lebih bermaklumat dan membolehkan pelbagai idea serta cadangan dikongsikan secara terbuka.
Jeffrey, menegaskan bahawa dengan adanya konsep tersendiri, Hari Sabah pada masa hadapan bukan sahaja akan menjadi acara tahunan tetapi juga simbol perjuangan, perpaduan, dan kebanggaan rakyat Sabah yang akan terus memberi inspirasi kepada generasi akan datang.