KOTA KINABALU: 26 Mac 2026 – Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Negeri Sabah bertema “Aidilfitri Wadah Perpaduan” bakal dimeriahkan dengan persembahan artis-artis tempatan Sabah seperti Marsha dan Fauziah Gambus, bersama persembahan khas kaligrafi Cina oleh seorang artis dari Republik Rakyat China yang kini menetap di Kuala Lumpur.
Beracakap kepada wartawan hari ini, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sambutan itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 28 Mac, jam 10 pagi hingga 2 petang, dengan anggaran seramai 20,000 pengunjung – kini telah mencapai 95 peratus persiapan.
Menurut beliau, sebanyak 71 gerai makanan akan disediakan oleh para usahawan tempatan dan 15 hotel turut menyajikan pelbagai hidangan Aidilfitri kepada pengunjung.
“Selain itu, enam agensi turut terlibat dalam penyediaan makanan, termasuk pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Daerah Putatan, Majlis Daerah Papar, Majlis Perbandaran Penampang, Jabatan Pertanian, Majlis Ugama Islam Sabah,” katanya.
Katanya, antara pengisian utama program adalah penyampaian sumbangan kepada sembilan rumah kebajikan yang melibatkan anak-anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan golongan yang memerlukan.
“Kita juga mengundang lebih 1,000 anak tahfiz dan anak yatim untuk bersama-sama memeriahkan sambutan ini,” katanya.
Majlis tersebut dijangka diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah bersama isteri, Ketua Menteri Sabah dan barisan menteri kabinet negeri.
Mengulas kelainan sambutan tahun ini, beliau berkata pendekatan lebih berhemah diterapkan selaras dengan saranan kerajaan Persekutuan, selain memberi penekanan kepada penyertaan golongan memerlukan.
“Fokus kita adalah untuk memperluaskan penyertaan golongan yang memerlukan agar mereka turut merasai kemeriahan Aidilfitri,” katanya.
