Harga beras putih import RM2,600 pmt dari 15 Mei

PUTRAJAYA, 14 Mei: Harga beras putih import (BPI) di semua pintu gudang Padiberas Nasional Bhd (BERNAS), termasuk di Sabah dan Sarawak, telah diselaraskan kepada RM2,600 per metrik tan bermula 15 Mei.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, dalam satu kenyataan berkata pelarasan ini merupakan kali kedua selepas harga diturunkan pada 1 Disember 2024 daripada RM3,000 kepada RM2,800 per metrik tan.

Beliau menegaskan bahawa program subsidi BPI bagi Sabah dan Sarawak akan diteruskan seperti biasa oleh Kerajaan Persekutuan, bagi memastikan rakyat di dua wilayah ini terus menikmati harga yang berpatutan walaupun berdepan cabaran logistik dan geografi.

“Pelarasan ini selari dengan komitmen Kerajaan MADANI yang menitikberatkan kebajikan rakyat, termasuk komuniti luar bandar di Sabah dan Sarawak, supaya makanan ruji seperti beras sentiasa mencukupi, mudah diperoleh dan pada harga yang mampu milik,” katanya.

Mohamad turut memaklumkan bahawa kejayaan ini juga hasil daripada pendekatan strategik BERNAS yang mempelbagaikan sumber import beras dari negara-negara seperti Vietnam, Thailand dan Myanmar, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran sahaja.

“Kementerian akan terus memantau situasi pasaran dan memastikan dasar yang digariskan sentiasa berpaksikan kepada kepentingan rakyat serta jaminan keselamatan makanan, terutamanya untuk kawasan pedalaman dan luar bandar di Sabah dan Sarawak,” tambah beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal