Hakim “Baik Hati” Frank Caprio Meninggal Dunia pada Usia 88 Tahun

PROVIDENCE, Rhode Island: 20 Ogos 2025 – Frank Caprio, bekas Ketua Hakim Pengadilan Kota Providence yang terkenal di seluruh dunia menerusi pendekatannya yang penuh empati terhadap pesalah kecil, meninggal dunia pada usia 88 tahun akibat kanser pankreas.

Berita pemergiannya disahkan oleh keluarganya melalui media sosial rasmi, yang memaklumkan beliau menghembuskan nafas terakhir selepas berjuang dengan penyakit tersebut sejak beberapa tahun lalu.

Caprio mula dikenali menerusi program televisyen realiti Caught in Providence, yang menyiarkan prosiding sebenar di mahkamah kota itu. Program tersebut mencuri perhatian penonton kerana pendekatan beliau yang mesra, berperikemanusiaan dan sering memberi ruang pertimbangan kepada individu berdepan kesulitan hidup.

Sikap beliau yang lebih mengutamakan belas kasihan berbanding hukuman keras menjadikannya fenomena media sosial, dengan jutaan tontonan di pelbagai platform digital. Antara momen paling diingati ialah ketika beliau membebaskan denda seorang warga emas berusia 96 tahun yang melanggar had laju ketika membawa anaknya ke hospital.

Dilahirkan pada 24 November 1936 di Providence, Caprio menamatkan pengajian di Providence College dan memperoleh ijazah undang-undang dari Suffolk University. Beliau pernah berkhidmat sebagai ahli majlis bandar sebelum dilantik sebagai hakim pada 1985, jawatan yang dipegangnya hampir empat dekad sehingga bersara pada 2023.

Di luar kerjaya kehakiman, Caprio aktif dalam kerja amal termasuk menubuhkan dana biasiswa untuk pelajar kurang berkemampuan. Sumbangan besarnya dalam bidang pendidikan dan masyarakat turut diiktiraf melalui pelbagai anugerah serta gelaran kehormatan universiti.

Gabenor Rhode Island, Dan McKee, menyifatkan Caprio sebagai “harta negeri” dan mengarahkan bendera dikibarkan separuh tiang sebagai tanda penghormatan.

Keluarga beliau dalam kenyataan menyebut, Caprio bukan sahaja dikenang sebagai hakim yang berwibawa, tetapi juga seorang suami, ayah, datuk dan buyut penyayang yang menaruh keyakinan tinggi terhadap kebaikan manusia.

Sumber: The Hollywood Reporter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal