KOTA KINABALU : 4 Oktober 2025 — Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyeru rakyat termasuk masyarakat Cina agar terus memberikan sokongan kepada Kerajaan Negeri sedia ada dalam usaha memajukan Sabah.
“Kerajaan bertanggungjawab untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat dan memastikan pembangunan negeri dipacu secara berterusan demi kesejahteraan bersama,” katanya dalam ucapan yang disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar di majlis sambutan Pesta Tanglung di Dewan Putra, Bukit Padang, Jumaat lalu.
Hajiji turut menghargai sumbangan serta dedikasi masyarakat Cina dalam membangunkan Sabah dan mengajak rakyat memelihara perpaduan agar kepelbagaian menjadi kekuatan yang menyatukan semua kaum.
Beliau menegaskan Sabah merupakan contoh unggul keharmonian berbilang kaum di Malaysia kerana lebih 30 kumpulan etnik hidup dalam suasana saling menghormati.
Menurutnya, keharmonian yang dinikmati bukan kebetulan tetapi hasil semangat kebersamaan, toleransi dan rasa hormat yang diamalkan rakyat, yang jelas terlihat dalam sambutan perayaan seperti Tahun Baru Cina, Pesta Tanglung, Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Krismas.
Hajiji menekankan kepelbagaian budaya mesti terus diraikan tanpa mengira bangsa atau agama kerana ia adalah keunikan dan kekuatan Sabah, termasuk melalui perayaan seperti Pesta Tanglung yang telah menyatukan rakyat dalam suasana aman dan harmoni.
Beliau memberi jaminan kerajaan akan terus memupuk perpaduan melalui pelbagai program dan inisiatif dengan sokongan pertubuhan bukan kerajaan serta pemimpin masyarakat, sambil mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan naratif tidak berasas pihak tidak bertanggungjawab.
Hajiji berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat, termasuk memberi tumpuan kepada pendidikan serta pembangunan modal insan, di samping berusaha menangani isu bekalan air dan elektrik yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu melalui inisiatif jangka pendek dan panjang.
Beliau menegaskan sokongan rakyat amat penting bagi memastikan usaha kerajaan membangunkan Sabah dapat diteruskan demi masa depan yang lebih makmur dalam Malaysia.
Sumber: Sabah Media
