Hajiji Seru Pimpinan Gagasan Rakyat Perkukuh Usaha Menjelang PRN17

KOTA KINABALU: 9 Oktober 2025 – Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor menggesa semua pimpinan parti di setiap peringkat mempertingkatkan usaha dan komitmen bagi memastikan kemenangan calon Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan (GRS-PH) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.

Beliau menegaskan bahawa PRN kali ini merupakan antara yang paling kritikal bagi GRS dalam usaha mengekalkan tampuk pentadbiran kerajaan negeri berdepan tekanan hebat dari pihak pembangkang.

Menurut Hajiji, semua ketua bahagian dan kepimpinan empat peringkat dalam Gagasan Rakyat perlu memberikan sokongan penuh kepada calon yang ditetapkan parti serta rakan gabungan, demi memastikan kemenangan GRS-PH.

Katanya, semangat tolak ansur dan pengorbanan perlu menjadi keutamaan dalam menghadapi PRN17, selain menghormati segala keputusan parti demi mencapai kemenangan bersama.

Majlis Perjumpaan Khas Bersama Ketua-Ketua Bahagian Gagasan Rakyat itu diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malam tadi, yang turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi parti.

Dalam ucapannya, Hajiji yang juga Pengerusi GRS menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan gabungan GRS-PH untuk kembali diberikan mandat mentadbir negeri.

Beliau turut menangkis tuduhan pembangkang yang mendakwa kerajaan GRS gagal mentadbir negeri dengan baik.

Antara pencapaian yang dibangkitkan ialah peningkatan hasil negeri daripada RM4 bilion kepada RM7 bilion, selain perjanjian penting yang dimeterai dengan PETRONAS bagi memajukan industri minyak dan gas di negeri itu.

Beliau menegaskan bahawa prestasi dan hala tuju jelas kerajaan GRS membuktikan keupayaan mereka dalam mentadbir negeri, sekaligus menolak dakwaan kegagalan seperti yang dilemparkan pembangkang.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal