HAJIJI LANCAR MANIFESTO GRS – 4 TERAS DAN 13 TUNJANG UTAMA
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini melancarkan manifesto yang mengandungi empat teras dan 13 tunjang utama.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi GRS berkata, GRS akan meneruskan komitmen melaksanakan agenda Sayangi Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Aku Janji GRS yang telah kita tawarkan sebagai Manifesto Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) yang lalu.
“Komitmen kita telah diterjemahkan dengan penjajaran agenda Sayangi Sabah dan Aku Janji GRS di dalam dokumen pelan pembangunan negeri iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang telah diperkenalkan pada 29 Mac 2021, genap enam bulan setelah kita memperolehi mandat rakyat,” katanya ketika merasmikan pelancaran manifesto GRS itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Menurut beliau, manifesto ini yang berpandukan empat teras perjuangan GRS yang meliputi ‘Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Melangkah ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya) dan Sabah United (Sabah yang Bersatu)’.
“Ia merangkumi 13 tunjang utama dan digubal dengan mengambil kira pandangan serta sentimen rakyat dalam perkara-perkara yang dianggap penting oleh kita semua,” katanya.
“Atas kejayaan demi kejayaan yang dicapai, mandat yang diberikan rakyat kepada GRS-BN dalam PRN16lalu perlu diteruskan pada PRU15 ini. Uniknya bagi kita di Sabah, kerjasama GRS dan BN bukan sahaja berjaya mewujudkan keharmonian dan kestabilan, malah dapat kita membangunkan negeri ini serta melindungi kepentingan hak rakyat seluruhnya,” kata Hajiji.
“Kita sendiri mengakui bahawa Sabah masih jauh ketinggalan meski pun telah berlaku kemajuan dan perubahan. Ini bermakna, kita perlu bekerja lebih keras dan cerdas, pantas dan tangkas demi membawa Sabah maju ke mercu kejayaan yang boleh kita banggakan!
“Justeru, marilah bersama-sama mengekalkan momentum kejayaan ini agar kejayaan lebih besar dapat kita capai demi membina negeri dan negara yang makmur dan permai. Kita boleh melakukan itu semua jika kita bersatu padu, kerana hanya dengan perpaduan kita akan menjadi kuat. Kita juga akan dihormati sekiranya kita kuat dan bersatu dalam membawa suara dan perjuangan negeri dan rakyat. Permuafakatan GRS bukan sekadar penting untuk kita di Sabah. Permuafakatan ini amat bermakna untuk membina kesatuan dan kekuatan dalam memastikan kepentingan Sabah terus terbela dalam Persekutuan Malaysia.
“Terjemahkan manifesto kita kepada Sabah dengan kesediaan untuk meletakkan kepentingan besar negeri mengatasi kepentingan diri dan kumpulan. Sedarlah bahawa kuasa politik itu adalah mandat dan amanah daripada rakyat untuk memperjuangkan nasib mereka dan masa depan negeri tercinta.
“Sesungguhnya, manifesto persembahan GRS ini meletakkan kepentingan negeri dan rakyat secara keseluruhannnya. Apa yang ditawarkan dalam Manifesto ini juga adalah kejayaan yang telah kita capai selama dua tahun pemerintahan, dan akan diteruskan demi kepentingan seluruh rakyat.
“Ayuh!! Marilah kita bersatu hati, bertekad cemerlang dan terus berjuang demi meletakkan Sabah di puncak kejayaan!” seru Hajiji.
Turut hadir Timbalan-timbalan Pengerusi GRS – Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Yong Teck Lee yang juga Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) dan Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang juga Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) serta para pemimpin lain dan juga calon-calon.
– Tv Sabah News
0 Comments