KOTA BELUD: 4 November 2025 — Menyedari kepentingan suara belia dalam menentukan hala tuju Kerajaan Sabah, gerakan anak muda Hai Mandak! tampil memupuk kesedaran dalam kalangan belia Sabah menjelang PRU DU Sabah ke-17.
Gerakan ini memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pemahaman belia mengenai sistem pentadbiran negara, proses pilihan raya, terutamanya melalui penggunaan media sosial, program komuniti Kelas Ko Ada Kuasa Bah, serta kempen menggalakkan belia pulang mengundi.
Nama “Hai Mandak!” dipilih kerana ia merupakan sapaan tempatan Sabah yang biasanya merujuk kepada wanita belum berkahwin.
“Kami semua secara kebetulan perempuan, jadi nama itu melekat. Tapi kami tidak mengecualikan lelaki. Matlamat kami adalah menghasilkan kandungan yang dekat dengan anak muda dan mudah difahami,” jelas salah seorang pengasas Hai Mandak!.
Menurut Priska, gerakan itu tercetus selepas mereka menyedari bahawa belia sebenarnya adalah penentu (kingmaker) dalam membentuk kerajaan Sabah, namun masih ramai belia tidak mengambil berat soal pengundian walaupun mereka merupakan kumpulan majoriti yang layak mengundi.
“Pada PRU lepas, lebih 40 peratus pengundi ialah belia, tetapi hanya 12.66 peratus turun mengundi. Tahun ini pula meningkat kepada 54 peratus. Kalau belia tidak turun mengundi, suara mereka tidak kedengaran,” katanya.
Beliau berkata jelajah Kelas Ko Ada Kuasa Bah ini penting, kerana belia di Sabah sukar dikumpulkan di satu tempat, maka usaha perlu digerakkan dari satu tempat ke tempat lain.
Namun, beliau mengakui usaha tersebut berdepan dengan cabaran.
“Cabaran paling besar ialah sikap belia yang rasa politik ini tidak berkait dengan kehidupan seharian. Sebenarnya bukan mereka tidak peduli, tapi mereka kurang pendedahan asas. Bila ilmu kurang, minat pun kurang.”
“Kalau kelas Ko Ada Kuasa Bah dan konsert dibuat serentak, belia akan pilih konsert,” katanya.
Beliau turut menegaskan Hai Mandak! bukan NGO dan tidak dibiayai mana-mana parti politik, sebaliknya bergerak secara bebas.
Kempen tersebut menyasarkan kutipan sekurang-kurangnya RM60,000 bagi membawa pulang seramai 100 belia iaitu 50 orang dari luar Sabah dan 50 dari Sabah yang berdepan kekangan kewangan.
Priska menyeru semua belia Sabah sama ada di Semenanjung atau di luar negara agar tidak melepaskan peluang untuk mengundi pada PRU DU SABAH-17 akan datang.
“Kalau boleh undi pos, undilah pos. Kalau boleh balik, baliklah. Kalau tiada dana, jangan putus asa. Suara belia adalah kingmaker. Kita yang menentukan masa depan Sabah. Jangan putus asa kita sama-sama usaha, boleh isi borang kami atau boleh buat video untuk kita sama-sama minta sponser” katanya.
Hai Mandak! juga terbuka untuk menerima jemputan dari mana-mana komuniti, persatuan belia, kampung, sekolah atau organisasi yang ingin melaksanakan kelas kesedaran politik.
Instagram & TikTok: @haimandak

		
		
		
		