PUTRAJAYA: 23 Julai 2025 – Sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025, kerajaan mengumumkan satu inisiatif julung kali diperkenalkan dalam sejarah negara menerusi pemberian bantuan tunai kepada seluruh rakyat dewasa Malaysia tanpa mengira latar belakang.
Bantuan berjumlah RM100 secara one-off akan disalurkan kepada setiap warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas melalui kad pengenalan MyKad, di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Dalam pengumuman rasmi YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bantuan tersebut boleh digunakan mulai 31 Ogos hingga 31 Disember 2025 untuk pembelian barangan keperluan asas di lebih 4,100 premis runcit seluruh negara, termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus, Econsave, dan 99Speedmart.
Berbeza dengan kebanyakan program terdahulu yang berasaskan isi rumah, bantuan ini diberikan secara individu. Sebagai contoh, sebuah keluarga yang terdiri daripada suami, isteri, dan dua anak dewasa bakal menerima jumlah keseluruhan sebanyak RM400.
Inisiatif ini dijangka memanfaatkan seramai 22 juta rakyat Malaysia, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2 bilion, menjadikan keseluruhan belanjawan untuk program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA meningkat kepada RM15 bilion bagi tahun 2025, satu peningkatan ketara berbanding RM13 bilion tahun sebelumnya.
Menariknya, kerajaan turut menggalakkan rakyat yang merasakan mereka tidak memerlukan bantuan ini untuk tidak membelanjakannya. Dana yang tidak digunakan menjelang hujung tahun akan diagihkan semula bagi program bantuan golongan rentan pada tahun hadapan, sebagai satu bentuk solidariti sosial dan kebersamaan rakyat.
Dengan pendekatan inklusif ini, kerajaan menzahirkan komitmen untuk memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara dalam semangat Malaysia MADANI.