Guru terbaik Malaysia bawa identiti Sabah ke pentas dunia

photo 2026 02 03 11 29 19

DUBAI: 1 Februari 2026 – Satu pencapaian membanggakan apabila Dr. Velerie Wheelervon Primus, Penolong Kanan Pendidikan Khas dari Sabah, tersenarai dalam Top 50 Guru Terbaik Dunia 2026 hadir ke Konvensyen Guru Dunia dan Majlis Anugerah Guru Terbaik Dunia 2026 di Emiriah Arab Bersatu.

Dr. Velerie merupakan satu-satunya wakil Asia dalam program pendidikan terbesar di dunia ini, membawa bukan sahaja nama Malaysia, tetapi juga suara pendidik Asia ke pentas pendidikan global.

Sebelum ini, beliau telah mencipta sejarah sebagai penerima Malaysia Teacher Prize 2024, mengukuhkan kedudukannya sebagai pendidik berimpak tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa.

Sepanjang berada di Dubai, beliau menyertai kursus berkaitan Kecerdasan Buatan (AI) dalam pendidikan dan sesi perbincangan profesional bersama lebih 400 guru dari seluruh dunia.

“Aktiviti tersebut menjadi platform strategik untuk pertukaran idea, perkongsian amalan terbaik, pembentukan kolaborasi antarabangsa bagi pendidikan yang lebih inklusif, berperikemanusiaan, dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Lebih istimewa, Dr. Velerie menarik perhatian komuniti antarabangsa dengan mengenakan busana tradisional suku kaum Sabah, sekali gus membawa identiti budaya negeri ke pentas global.

“Penampilan tersebut bukan sahaja simbol kebanggaan budaya, tetapi juga pernyataan bahawa kepelbagaian warisan tempatan adalah aset penting dalam ekosistem pendidikan global,” tambahnya.

Kejayaan guru dari SK Bingkor ini membuktikan bahawa kualiti pendidik bertaraf dunia tidak diukur melalui lokasi sekolah, tetapi melalui komitmen, kepimpinan, dan keberanian membawa perubahan bermakna untuk setiap anak didik.

Pencapaian Dr. Velerie bukan sekadar miliknya sendiri, tetapi kebanggaan seluruh komuniti pendidikan Malaysia, menjadi bukti bahawa guru yang diperkasa mampu membawa suara bilik darjah pedalaman ke pentas dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal