TENOM: Seorang guru dari pedalaman Sabah, Cikgu Hafizi Fazli Bakar, mencipta sejarah apabila mewakili Malaysia ke 18th ASEF Classroom Network Conference (ClassNet18) yang berlangsung di Maribor, Slovenia, dari 6 hingga 10 Oktober lalu.
Guru Cemerlang Matematik Tambahan dari SMK Kemabong, Tenom itu merupakan salah seorang daripada dua guru Malaysia yang terpilih sebagai finalis dalam program anjuran Asia-Europe Foundation (ASEF) yang menghimpunkan lebih 100 pendidik dari 35 negara Asia dan Eropah.
Bertemakan “Effective, Inclusive & Ethical AI in Education Design,” persidangan berprestij itu menekankan peranan kecerdasan buatan (AI) dalam mereka bentuk sistem pendidikan yang beretika dan inklusif.

Program berkenaan bermula sejak Mei lalu melalui sesi pembelajaran dalam talian dan kerja projek kolaboratif antara guru Asia dan Eropah.
Peringkat akhir di Slovenia menyaksikan para peserta membentangkan hasil projek mereka serta berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam bidang pendidikan global.

Dalam pembentangannya, Cikgu Hafizi mengetengahkan projek Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) bertemakan gamifikasi Matematik, yang melibatkan penggunaan alat berasaskan AI untuk membantu murid menyiapkan tugasan dengan lebih kreatif dan berkesan.
Pendekatan inovatif itu berjaya meningkatkan minat pelajar terhadap Matematik selain memperlihatkan potensi murid luar bandar dalam mengaplikasikan teknologi moden dalam pembelajaran.

Kejayaan tersebut menjadi kebanggaan kepada warga pendidikan Sabah, sekali gus membuktikan bahawa guru luar bandar juga berupaya mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa melalui dedikasi, inovasi, dan semangat memperkasa pendidikan negara.