Guru Buta Asah Murid Luar Bandar Menang Naib Johan FRES Peringkat Negeri Sabah

KOTA KINABALU, 2 Julai 2025 – Usaha gigih seorang guru muzik yang kehilangan penglihatan akibat glaukoma telah mencipta sejarah buat sebuah sekolah luar bandar apabila berjaya meraih Naib Johan Peringkat Negeri dalam Festival Rancak Seni (FERAS) 2025, menewaskan pasukan dari sekolah bandar ternama di Sabah.

Guru berkenaan, Eirwandy Pickly @ Derek, merupakan alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) – institusi yang terkenal melahirkan anak kandung Suluh Budiman.

Pickly mula mengalami masalah penglihatan semasa di universiti sebelum akhirnya menjadi buta sepenuhnya pada tahun 2020. Namun, cabaran itu tidak melemahkan semangatnya untuk terus mencurah bakti mendidik anak-anak luar bandar.

Beliau memulakan latihan sejak Januari bersama kumpulan murid yang baru berjinak-jinak memegang alat muzik rekoder.

Antara cabaran utama ialah kekurangan alat berkualiti, kerana rekoder pelbagai jenis seperti tenor dan bass yang mampu menghasilkan harmoni penuh memerlukan kos yang tinggi. Sebahagian alat diperoleh hasil pembelian dana peribad Pikl sendiri.

Selain itu, dana perjalanan ke pertandingan di Kota Kinabalu turut dicapai melalui sumbangan orang ramai, kutipan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta tajaan pakaian persembahan daripada pelbagai pihak yang prihatin terhadap usaha mereka.

Pertandingan peringkat negeri itu menyaksikan persaingan sengit antara tiga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terbaik iaitu PPD Beluran, PPD Penampang dan PPD Kota Kinabalu.

Walaupun hanya berjaya meraih Naib Johan, pencapaian itu membuka mata banyak pihak dan memberi inspirasi kepada murid-murid luar bandar bahawa tiada yang mustahil jika berusaha bersungguh-sungguh.

“Saya percaya muzik bukan hanya tentang apa yang dilihat, tapi apa yang dirasai dan didengar. Walaupun penglihatan saya hilang, saya masih boleh mengajar dengan sepenuh hati,” jelas Pickly yang melatih murid-muridnya dari asas sehingga mampu membuat persembahan berkualiti tinggi.

Latihan intensif secara berjadual membolehkan murid membina keyakinan diri dan menguasai teknik permainan rekoder walaupun dalam keadaan serba kekurangan.

Persembahan pasukan SK Sungai Nafas berjaya menarik perhatian juri dengan mutu irama yang kemas dan disiplin tinggi.

Kejayaan ini membuktikan bahawa ilmu, ketabahan dan semangat seorang pendidik luar biasa mampu mengubah kekurangan menjadi kekuatan, serta membuka peluang anak-anak luar bandar untuk bersinar setanding rakan mereka di sekolah bandar.

TV Sabah merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Eirwandy Pickly @ Derek dan seluruh warga SK Sungai Nafas atas pencapaian yang membanggakan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal