Guru Bahasa Inggeris Didakwa Sebar Maklumat Palsu Kematian Zara Qairina

SEPANG: 21 Ogos 2025 – Seorang guru Bahasa Inggeris didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan menyebarkan maklumat palsu iaitu dengan mengatakan Allahyarham Zara Qairina dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Siti Hajar Aflah Sharuddin, 39, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Wanita itu didakwa membuat kenyataan yang boleh menimbulkan kegentaran awam dan mendorong orang melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Ibu tunggal itu didakwa membuat kenyataan di akaun TikTok miliknya ‘SHA_Abrienda’ pada 6 Ogos lalu, yang dilihat dan didengar seorang anggota polis di KLIA Terminal 2.

Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Zara Qairina, pelajar Tingkatan 1 SMKA Tun Datu Mustapha di Sabah, ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama jam 3 pagi, 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya.

Kematian Allahyarham mencetus perhatian umum apabila diklasifikasi sebagai laporan mati mengejut (SDR). PDRM membuka 15 kertas siasatan berkaitan penyebaran berita palsu, termasuk dakwaan mangsa dimasukkan ke mesin basuh.

SUMBER : BULETIN TV3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal