Guarana potensi ekonomi baharu sah ditanam di Sabah

Guaran2

TAMBUNAN:3 Februari 2026 – Penanaman Guarana di Sabah kini sah dan bebas penyakit setelah kajian menyeluruh dilakukan, kata ADUN Tambunan, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan di Kampung Dalungan, Tambunan, pada 1 Februari lalu.

Beliau berkata, kajian selama tujuh generasi mendapati Guarana tidak mengancam sektor pertanian negara. Bibit tempatan dikuarantin selama dua tahun dan disahkan bebas jangkitan. Kerjasama antara agensi kerajaan, universiti tempatan, dan pihak berkepentingan membuktikan Guarana selamat ditanam dan berpotensi sebagai sumber ekonomi baharu.

“Sebagai pengeluar baharu, kita kini memiliki bibit Guarana yang telah diuji dan disahkan selamat. Ini membolehkan kita memperluaskan industri ini tanpa kebergantungan kepada negara luar,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kajian di Indonesia dan Sarawak mendapati Guarana telah wujud di Borneo sebelum kemasukan bibit dari Brazil, dan penanamannya secara tradisional di Malaysia telah berlangsung lebih 38 tahun, khususnya di taman-taman pertanian.

Menyentuh isu tuntutan ekslusif oleh Brazil terhadap eksport bibit Guarana, Dr Jeffrey menegaskan bahawa Malaysia kini memiliki sumber bibit sendiri dan terus memperkukuh industry Guarana tempatan.

Beliau menjangkakan industri ini akan berkembang pesat dengan penghasilan produk komersial seperti kopi Guarana, membuka peluang pekerjaan dan pendapatan baharu, terutamanya di kawasan luar bandar.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengulas pekeliling kerajaan pusat berkaitan senarai tanaman yang diharamkan di Malaysia, dan memaklumkan Guarana tidak termasuk dalam senarai tersebut, sekali gus membolehkan penanaman diteruskan tanpa sekatan.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Datuk Lawrence Gimbang, Datuk Edward Linggu, dan wakil biro penerangan Guarana dari pelbagai daerah.

Dr. Jeffrey menyeru kerjasama semua pihak untuk memajukan industri Guarana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal