Monday, December 23, 2024

GRS tolak ekstremisme, salah guna agama: Dr Jeffrey

Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengekalkan pendirian akan sentiasa menolak extremisme keagamaan dalam apa jua bentuk dan manifestasinya.

Timbalan Pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata kerajaan Sabah akan sentiasa mempertahankan keharmonian beragama di negeri ini dengan apa cara sekali pun.

“Kita akan pertahankan keharmonian mengamalkan kebebasan beragama daripada segala bentuk cubaan, sama ada secara langsung atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, rakyat Sabah amat sayangkan keamanan dan telah begitu lama hidup secara harmoni dan bersatu padu walaupun mereka mempunyai bangsa dan agama yang berbeza.

Ini katanya, adalah perpaduan dalam kepelbagaian yang begitu tinggi sekali yang amat unik tentang Sabah dan rakyatnya.

“Kerajaan negeri Sabah dan rakyat Sabah berdiri kukuh dan bersatu padu untuk tidak membenarkan ektremisme keagamaan dalam apa jua bentuk dan manifestasi daripada apa-apa yang menghancurkannya,” katanya.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah itu meminta rakyat Sabah terus menolak apa juga cubaan daripada sesiapa sahaja, maupun individu atau kumpulan, yang menyalahgunakan ugama demi kepentingan mereka.

Dia juga berkata kerajaan GRS menghormati hak kebebasan ugama di Sabah.

Dalam ceramah terakhirnya di Johor pada Rabu, calon Perdana Menteri Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin menimbulkan kemarahan ramai apabila mengaitkan Pakatan Harapan dengan kumpulan Yahudi dan Kristian kononnya mereka mahu mengambil alih Malaysia.

Menurut Muhyiddin, ada sekumpulan Yahudi dan Kristian merancang untuk mengambil alih Malaysia.

Majlis Gereja-Gereja Malaysia membidas kenyataan Muhyiddin itu yang dianggap sebagai tidak benar dan tidak bertanggung jawab.

Setiausaha Agung majlis itu, Jonathan Jesudas berkata, Malaysia sebuah negara berbilang agama dan kaum maka sensitiviti setiap masyarakat perlu diambil kira semasa berucap di forum awam.

Dalam kenyataan yang diedarkan majlis itu di semua media sosial, beliau berkata Muhyiddin secara sembarangan berkata demikian di tempat terbuka dan ini boleh menimbulkan ketegangan dan persengketaan kaum dan agama.

“Pihak berkuasa perlu menangani perkara ini bagi memastikan kenyataan palsu dan menyentuh sensitiviti pelbagai agama tidak diulangi,” jelasnya.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights