Tenom, 6 Julai 2025 – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) semakin yakin untuk kembali menerajui pentadbiran negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, susulan sokongan padu daripada akar umbi yang ditunjukkan dalam siri persidangan parti di seluruh Sabah.
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kehadiran ahli yang konsisten serta kerjasama erat antara parti dalam gabungan menjadi faktor utama keyakinan tersebut.
Di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, struktur organisasi Parti Gagasan Rakyat menunjukkan kesiapsiagaan jentera dengan penubuhan 134 cawangan melibatkan 7,510 ahli berdaftar, manakala bilangan pengundi kawasan itu kini mencecah lebih 20,000 orang.
Sempena persidangan bahagian Melalap, sebanyak 25 cawangan baharu turut diumumkan, dengan kehadiran hampir 1,000 ahli sebagai perwakilan dan pemerhati.
GRS dilihat terus mengukuhkan kedudukan menjelang PRN, dengan tumpuan terhadap jalinan kerjasama politik yang stabil serta pengukuhan akar umbi sebagai asas untuk meraih mandat sekali lagi daripada rakyat Sabah.
Sumber, Sabah News Today