GRS Kuamut Kekal Setia, Masiung Tegaskan Sokongan Padu Kepada Hajiji

KOTA KINABALU: 3 Oktober 2025 – Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kuamut menegaskan pendirian untuk terus mendukung kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, meskipun dua komponen utama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Solidariti Tanahairku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP), telah mengumumkan penarikan diri daripada gabungan tersebut.

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kuamut merangkap Naib Presiden parti, Datuk Masiung Banah, berkata keputusan STAR dan SAPP itu wajar dihormati, namun tidak akan menjejaskan komitmen GRS Kuamut terhadap kepimpinan sedia ada.

Beliau menegaskan bahawa fokus utama kini adalah memperkukuh strategi serta persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17), termasuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut.

Masiung turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama berterusan antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) mampu memastikan kestabilan kerajaan negeri serta mengekalkan Hajiji sebagai Ketua Menteri selepas PRN-17.

Dengan keluarnya STAR dan SAPP, struktur GRS di Kuamut kini terdiri daripada tiga komponen iaitu Gagasan Rakyat, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan United Sabah National Organisation (USNO).

Sebelum ini, dalam mesyuarat Majlis Presiden GRS pada Rabu lalu, Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee menyatakan hasrat untuk bergerak secara solo, selepas enggan terikat dengan persefahaman pengagihan kerusi bersama GRS–PH. Pada PRN-16, STAR bertanding di lapan kerusi dan memenangi enam, manakala SAPP tidak memenangi sebarang kerusi.

Sumber: Sabah News Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal