GRS-BN tidak ‘berperang’ mahu rakyat Sabah bertenang
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah melihat ‘drama Perdana Menteri ke-10’ di Kuala Lumpur dengan penuh antisipasi akan apa yang bakal berlaku selepas tiga hari pilihan raya umum ke-15 selesai pada Sabtu lalu.
Dan Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Joniston Bangkuai meminta semua pihak bertenang selepas sehingga kini Malaysia belum mempunyai Perdana Menteri dan kerajaan belum dibentuk.
Drama di sana membuka pelbagai spekulasi daripada rakyat di sini hingga menimbulkan perasaan marah dan gelisah. Lihat sahaja sembang dalam grup aplikasi Whatsapp, Twitter, Insta dan Facebook.
Berita konon berlaku perang di antara Pengerusi GRS Datuk Hajiji Noor dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Bung Moktar juga timbul gara-gara tiada persetujuan di antara dua gabungan Sabah itu untuk memihak kepada siapa.
Joniston meminta semua orang Sabah bertenang dan bersabar. Beliau mahu semua pihak melihat keadaan politik di Sabah yang unik.
“Biarlah kita terus menjadi unik dan istimewa. Saya yakin akhirnya pemimpin di negeri ini akan mempertimbangkan apa yang baik untuk rakyat dan Sabah,” katanya merujuk kepada bagaimana Kerajaan Negeri melihat perkembangan di Kuala Lumpur.
Menurut Joniston, Ketua Menteri dan Bung Moktar mengutamakan kepentingan rakyat dan mereka berdua bersikap rasional di mana mereka lebih memikirkan apa yang terbaik untuk negeri Sabah dan juga rakyat Sabah.
Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Raime Unggi bersetuju dan berkata semua pemimpin, ahli atau penyokong kedua-dua gabungan perlu mengambil langkah bertenang selain tidak menimbulkan sebarang kenyataan mampu mengguris hati.
Joniston dan Raime tidak mahu senario di antara gabungan Barisan Nasional (BN) Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dikalutkan lagi dan mahu semua terus mengekalkan perpaduan sedia ada.
Raime mahu kedua-dua pimpinan menanti setiap perkembangan melibatkan kedudukan semasa di ibu negara sebelum membuat sebarang keputusan.
“Bagi kami di BN Sabah, kami akan akur setiap keputusan yang diambil oleh pusat namun pada masa yang sama kita juga mengambil pendekatan terus bermuafakat dengan gabungan yang ada.
“Soal siapa sokong siapa, biarlah peringkat atasan yang membuat keputusan, ” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengaku keadaan masih ‘panas’ di Kuala Lumpur, kedua-dua pemimpin BN dan GRS itu percaya dengan kemuafakatan yang ada sebarang konflik yang mungkin digembar-gemburkan sesetengah pihak untuk mengatakan gabungan ini sedang bertelagah boleh dielakkan.
Kelmarin, Bung Moktar membidas kenyataan Hajiji Noor yang mendedahkan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia pada pasca PRU15.
Bung menyifatkan kenyataan Hajiji itu sebagai mengistiyarkan perang kepada BN Sabah namun Hajiji menyangkalnya dengan berkata itu bukan maksudnya sebaliknya mendakwa perjanjian yang dibuat tidak sah memandangkan BN telah kalah dalam PRU-15 kali ini.
Hajiji bagaimanapun berharap BN Sabah terus sudi berkerjasama dengan GRS mentadbir Sabah dalam mengekalkan momentum pentadbiran kerajaan yang diterajui bersama.
– Tv Sabah News
0 Comments