Tuesday, December 24, 2024
Datuk Dr George Sangkin

KOTA MARUDU: Siapakah pemenang pilihan raya umum ke-15 kali ini? Adakah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menjadi ‘king maker’ untuk membentuk Kerajaan Persekutuan? Soalan ini akan terjawab pada 19 November depan.


Yang pasti, sebuah parti atau mana-mana gabungan perlu menang sekurang-kurangnya 112 daripada 222 kerusi parlimen untuk membentuk kerajaan majoriti mudah. Untuk majoriti dua pertiga pula pemenang perlukan sekurang-kurangnya 148 kerusi.


Dalam pertarungan kali ini tiada lagi parti persendirian mampu berdiri atas kaki sendiri. Semua mesti bergabung atau berpakat. Gabungan parti politik utama adalah Barisan Nasional, Parti Bersatu dan Pakatan Harapan. Mereka meletakkan calon di semua kawasan persekutuan.


Jika tiada mana-mana parti ini menang kerusi yang cukup untuk membentuk Kerajaan Persekutuan, maka mereka perlu dapatkan ‘bantuan’ daripada parti yang lebih kecil untuk mendapatkan sokongan. “Di sinilah bagaimana Gabungan Rakyat Sabah (GRS) boleh menjadi ‘king maker,” kata bekas Ahli Parlimen (MP) Kota Marudu atau dulunya Bandau, Datuk Dr George Sangkin kepada TV Sabah News di sini, Khamis.


Beliau yakin dengan kemungkinan bahawa tiada satu parti pun boleh mendominasi kemenangan untuk membolehkannya membentuk Kerajaan Persekutuan.
GRS adalah gabungan parti-parti kecil Bersatu, Parti Star, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Usno yang dikemudi oleh Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Mereka akan bertanding di kesemua 25 kerusi MP di Sabah dan kerusi tunggal bagi Wilayah Persekutuan Labuan.


Dr Sangkin adalah Ketua Penerangan Parti Star Tandek. Jelasnya, dengan 25 ahli parlimen di Sabah dan 31 di Sarawak, sesiapa sahaja yang ingin membentuk kerajaan tidak mempunyai pilihan selain daripada bekerjasama dengan Blok Borneo untuk mendapatkan majoriti MP Parlimen. “Di sinilah GRS boleh memainkan peranan sebagai ‘king maker,” katanya.


Katanya, jika GRS tidak dapat memenangi kesemua 25 kerusi itu, parti politik menang yang menyokong dan pro dengan gabungan itu boleh memberikan sokongan dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan. “Mereka boleh memberikan sokongan dengan menyertai gabungan supaya jumlah MP mereka bertambah dan jika cukup, mereka boleh membentuk kerajaan,” katanya. Satu daripada parti tempatan mesra GRS yang akan bertanding dalam pilihan raya ini ialah Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (Parti KDM).


Parti KDM yang diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap Datuk Peter Anthony telah mengumumkan bertanding bagi kerusi Parlimen Kota Kinabalu, Kota Marudu, Sepanggar dan Kimanis. Parti itu juga sedang mempertimbangkan untuk meletakkan calon bagi kerusi Penampang dan Ranau.

Pandangan Dr Sangkin ini adalah sama dengan pandangan Perdana Menteri sementara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berkata, Barisan Nasional perlu bekerjasama dengan parti lain jika ia gagal menang dengan majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Ismail Sabri, yang merupakan naib presiden Umno, dilaporkan berkata BN mungkin akan meminta bantuan GRS dan Gabungan Parti Sarawak untuk membentuk kerajaan yang stabil, jika ia gagal mendapat majoriti atas kaki sendiri.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights