KOTA KINABALU: 16 Mac 2026 – Laporan kekurangan bekalan beras di beberapa daerah pedalaman Sabah pada hujung minggu lalu menimbulkan persoalan mengenai tahap kesiapsiagaan kerajaan dalam memastikan bekalan makanan asas kepada rakyat.
Ahli Parlimen Keningau yang juga ADUN Tambunan Dr Jeffrey G. Kitingan berkata keadaan itu amat membimbangkan apabila penduduk di kawasan seperti Keningau, Tambunan dan Sook dilaporkan tidak dapat memperoleh bekalan beras di kedai.
Menurut beliau, situasi itu menimbulkan persoalan sama ada kerajaan benar-benar bersedia menghadapi ketidaktentuan global, terutama selepas rakyat diminta supaya membuat persediaan.
Beliau berkata gesaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mustapha Sakmud supaya rakyat Sabah dan Sarawak bersedia menghadapi ketidaktentuan global sepatutnya turut disertai penjelasan mengenai tahap kesiapsiagaan kerajaan sendiri.
Beliau turut mengulas kenyataan Menteri Pertanian Sabah, Jamawi Jaafar, yang memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menghubungi Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) berhubung isu bekalan beras dan mengakui kebergantungan kepada import beras masih berterusan.
Menurut Jeffrey, angka bekalan beras sehingga sembilan bulan yang sering dirujuk merangkumi stok komersial dan inventori yang dipegang oleh pembekal dilantik BERNAS, dan bukannya stok yang dikawal secara langsung oleh Sabah.
“Jika berlaku kecemasan nasional, tiada jaminan bekalan itu tidak dialihkan ke Semenanjung Malaysia kerana stok tersebut dimiliki oleh BERNAS, bukan Sabah,” katanya.
Beliau turut mengakui bahawa sasaran untuk mencapai tahap sara diri beras sebanyak 30 peratus menjelang 2026 ketika beliau memegang portfolio pertanian sebelum ini tidak tercapai, namun menegaskan usaha itu berdepan kekangan peruntukan.
Jeffrey berkata Sabah dan Sarawak hanya menerima sekitar enam hingga tujuh peratus dari jumlah keseluruhan perbelanjaan pembangunan Persekutuan walaupun kedua-dua negeri menyumbang hasil besar kepada negara melalui sumber minyak dan gas.
Dalam masa sama, beliau menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Kota Kinabalu yang menegaskan komitmen pembayaran 40 peratus hasil kepada Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah muktamad.
Bagaimanapun, Jeffrey berkata pelaksanaan MA63 masih memerlukan kerangka yang jelas kerana isu kekurangan bekalan beras yang berlaku di daerah pedalaman ketika ini menunjukkan cabaran sebenar yang sedang dihadapi rakyat.
