‘Generasi muda pikul tugas berat perbetul Sabah’
KOTA KINABALU: Generasi muda memikul tanggungjawab membetulkan segala kesalahan yang telah dilakukan ke atas negeri ini dan rakyatnya, kata Timbalan Ketua Exco Wiramuda Star Sabah, Prem Kitingan.
“Ia adalah perjuangan untuk memperbetulkan apa yang tidak betul kerana golongan muda adalah arkitek kepada masa depan negeri Sabah yang lebih progresif,” katanya menambah bahawa kesilapan perlu diperbetul bagi mewujudkan negeri yang selamat dan kaya.
Generasi muda katanya, memiliki kuasa untuk menentukan landasan politik yang terbaik demi untuk mencapai agenda itu.
“Bagi saya dan ramai lagi, Star Sabah adalah landasan yang sesuai bagi golongan muda Sabah untuk berjuang. Mereka dialu-alukan untuk meneruskan perjuangan menuntut hak-hak Sabah and juga memperjuangkan ekonomi negeri yang lebih kukuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau tidak menafikan bahawa golongan muda Sabah bekerja keras supaya dapat memperolehi kehidupan lebih baik.
Mereka juga katanya, amat risau dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang dan mahukan sebuah kerajaan yang benar-benar mampu memacu kemajuan walaupun dalam keadaan ekonomi global yang mencabar.
Prem percaya dibawah pimpinan presiden parti itu, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, Sabah mampu mengorak langkah untuk maju ke hadapan. Ini kerana Jeffrey juga seorang pemimpin dalam kabinet kerajaan GRS.
“Kami sebagai golongan muda di Star Sabah memahami perjuangan presiden kami yang tidak pernah pudar dalam memperjuangkan hak-hak Sabah. Kami menyokong visi parti ini yang mahu negeri ini lebih gemilang dan terus memperjuangkan hak-hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Prem menambah, rakyat Sabah sudah kenal dengan perjuangan Dr Jeffrey mendapatkan beberapa pindaan penting membabitkan MA63, Laporan IGC, Suruhanjaya Cobbold and Perkara 20 yang disuarakannya sejak tahun 1987.
“Tapi apa-apa pun pindaan yang dibuat, ia bukanlah jalan terakhir bagi Sabah untuk memperbetulkan segala kesalahan yang telah dilakukan ke atasnya dan rakyat negeri ini selama berdekad.
“Ia memerlukan usaha yang lebih besar dari kita untuk berjaya menyelesaikan masalah. Inilah sebab golongan muda Sabah mesti berjuang bersama Star Sabah,” kata Prem yakin golongan muda parti ini sudah bersiap memberikan impak dalam Pilihan Raya umum Ke-15 (PRU15) yang akan diadakan pada November.
-Tv Sabah News
0 Comments