MOSCOW: 18 September 2025 – Gempa bumi kuat bermagnitud 7.8 menggegarkan wilayah Kamchatka di Timur Jauh Rusia awal pagi Khamis, mencetuskan kebimbangan tsunami sebelum amaran tersebut ditarik balik beberapa jam kemudian.
Menurut U.S. Geological Survey (USGS), pusat gempa terletak kira-kira 127 kilometer timur Petropavlovsk-Kamchatsky pada kedalaman sekitar 10 kilometer. Gegaran dirasai jelas di kawasan pesisir dan mencetuskan panik dalam kalangan penduduk.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik (PTWC) pada mulanya mengeluarkan amaran tsunami, namun kemudian memaklumkan tiada ancaman besar dikesan. Beberapa gegaran susulan turut dilaporkan, termasuk yang mencecah magnitud 5.8.
Menurut sumber, sehingga kini, tiada laporan kematian atau kerosakan besar dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Bagaimanapun, pasukan kecemasan telah digerakkan bagi memantau keadaan serta menilai sebarang kesan terhadap infrastruktur penting di rantau tersebut.
Wilayah Kamchatka sememangnya terletak di zon lingkaran api Pasifik dan kerap dilanda gempa bumi besar. Pada Julai lalu, kawasan sama pernah digegarkan gempa bermagnitud 8.8 yang turut mencetuskan beberapa siri gegaran susulan.
Sumber: Reuters, Gulf, dan The Economic Times
