Seluruh Amerika Syarikat digegarkan dengan gelombang protes nasional “No Kings” yang terbesar dalam sejarah negara itu pada 28 Mac lalu, dengan jutaan rakyat turun ke jalan bagi membantah pelbagai dasar pentadbiran Presiden Donald Trump.
Protes kali ini merupakan gelombang ketiga sejak Jun 2025, dengan lebih 3,100 acara diadakan di semua 50 negeri dan Washington D.C.. Penganjur menjangkakan kehadiran mencecah 9 juta peserta, melebihi rekod 7 juta pada protes Oktober 2025. Jika tercapai, ia akan menjadi protes satu hari terbesar dalam sejarah AS .
Rakyat Amerika menyuarakan tentangan terhadap beberapa dasar utama pentadbiran Trump yang menjadi punca kemarahan mereka.
Pertama, berkaitan perang Iran, ramai yang menganggap perang yang meletus pada 28 Februari 2026 sebagai “perang pilihan” yang tidak adil dan membebankan. Tinjauan CBS mendapati 6 daripada 10 rakyat AS menentang perang ini.
Seterusnya ialah penguatkuasaan Imigresen, iaitu tindakan agensi Imigresen dan Kastam (ICE) mendapat kecaman hebat, terutamanya selepas kematian dua warganegara AS di Minneapolis pada Januari lalu . Tinjauan Fox News menunjukkan 6 daripada 10 rakyat tidak bersetuju dengan taktik penguatkuasaan imigresen dalam pentadbiran Trump masa kini.
Selanjutnya, mengenai kos sara hidup, dengan harga petrol yang melonjak akibat konflik, pemotongan perbelanjaan kesihatan, dan program bantuan makanan turut menjadi isu hangat .
“Keluarga dihimpit kenaikan kos makanan, perumahan dan penjagaan kesihatan, sementara pentadbiran ini melabur berbilion-bilion dolar dalam perang yang menyalahi undang-undang,” kata seorang penganjur, Connect Kankakee.
Selebriti dan tokoh politik juga tampil menyuarakan sokongan. Penyanyi rock Bruce Springsteen mempersembahkan lagu protesnya di Minnesota, manakala Senator Bernie Sanders menyatakan rakyat Amerika “dibohongi tentang perang di Iran”.
Pelakon Robert De Niro, antara penganjur di New York, berkata tiada presiden sebelum Trump yang “menimbulkan ancaman eksistensi terhadap kebebasan dan keselamatan kita”.
Konflik antara AS dan Israel menentang Iran telah memasuki hari ke-32, namun petunjuk awal menunjukkan kemungkinan fasa aktif peperangan akan berakhir tidak lama lagi.
Presiden Trump pada 31 Mac memberitahu pemberita di Bilik Oval bahawa kempen ketenteraan Amerika Syarikat di Iran akan berakhir dalam masa “dua hingga tiga minggu”.
Trump menyatakan bahawa “rejim baru” di Iran lebih mudah diakses dan perjanjian damai bukanlah syarat untuk penamatan perang .
Sementara itu, Iran terus menutup Selat Hormuz untuk kapal-kapal yang berkaitan dengan Amerika Syarikat dan Israel. Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengisytiharkan larangan laluan dan memberi amaran bahawa sebarang transit akan berdepan “akibat teruk”.
Menurut Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, kapal dari negara “mesra” seperti China, Rusia, India, Pakistan, Iraq, dan Malaysia diberi kebenaran untuk melalui selat tersebut. Malaysia, melalui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengucapkan terima kasih kepada Iran kerana membenarkan kapal tangki minyak negara itu melalui Selat Hormuz. Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan bahawa kapal-kapal Malaysia akan dikecualikan dari sebarang tol yang dikenakan oleh Iran.
Amerika Syarikat telah mengerahkan aset ketenteraan yang besar di sekitar Timur Tengah sebagai persediaan untuk konflik yang berpanjangan.
Aset Laut, dua Kumpulan Kapal Induk, USS Abraham Lincoln sedang beroperasi di Laut Arab, manakala USS Gerald R. Ford, kapal perang terbesar di dunia, dalam perjalanan ke Mediterranean Timur, selain kapal perang tambahan aktif di Selat Hormuz, Laut Merah, dan Mediterranean.
Manakalah aset udara melibatkan puluhan pesawat tentera termasuk pejuang F-35 dan F-22, kapal tangki KC-135 dan KC-46, serta pesawat pengawasan E-3 Sentry, yang telah diterbangkan ke pangkalan di Eropah dan Timur Tengah. Pengebom B-52 mula diterbangkan di ruang udara Iran untuk pertama kali sejak perang bermula.
Pakar ketenteraan menyifatkan persiapan ini sebagai usaha yang “lebih mendalam dan berkemampanan” berbanding penempatan sebelum ini, direka untuk mengekalkan penglibatan dan menentang pelbagai potensi tindakan balas Iran.
Konflik ini memberi kesan besar kepada ekonomi global, terutamanya harga minyak. Harga petrol di AS mencecah purata $4 segalen, manakala harga minyak mentah Brent melonjak lebih 45% sejak perang bermula, menghampiri $107 setong .
Hampir 1,900 kapal dagang terkandas di Teluk Parsi akibat sekatan di Selat Hormuz. Amerika Syarikat mengkritik sekutu Eropah seperti Perancis, Itali, dan Sepanyol kerana enggan memberikan sokongan penuh, malah menutup ruang udara untuk operasi ketenteraan AS .
Sumber: Ahram Online / Associated Press, The Jerusalem Post / CNS Poll, Fox Nes Poll, Bagnladesh Sangbad Sngstha / AFP, Al Quds, Newsmax, WFLA / The Hill, Yeerepouni Daily News / Reuters, The Business Times / Bloomberg.
