WASHINGTON: 5 September 2025 – Amerika Syarikat kini memasuki fasa baharu dalam dasar kesihatan awam apabila kerajaan persekutuan dan beberapa negeri, termasuk Florida, mengumumkan penghentian mandat vaksin yang sebelum ini diwajibkan ke atas orang ramai.
Langkah itu menyaksikan Foods and Drugs Administration (FDA) menamatkan mandat vaksin COVID-19 untuk semua peringkat umur.
FDA turut melaporkan bahawa suntikan hanya disyorkan kepada golongan berisiko tinggi seperti warga emas 65 tahun ke atas dan individu dengan masalah kesihatan kronik.
Sementara itu, Florida mencetuskan kontroversi apabila menjadi negeri pertama di AS yang menghapuskan sepenuhnya mandat vaksin untuk sekolah, termasuk imunisasi asas seperti campak, polio, dan cacar air.
Tindakan ini digambarkan oleh kepimpinan negeri sebagai usaha memperjuangkan “kebebasan perubatan”, namun pakar kesihatan awam memberi amaran ia boleh membuka ruang kepada kebangkitan semula penyakit berjangkit.
Menurut pemerhati, keputusan untuk melonggarkan atau menamatkan mandat vaksin mungkin meningkatkan risiko kesihatan kepada kanak-kanak dan komuniti rentan.
Keadaan ini juga dijangka memberi kesan kepada tahap keyakinan masyarakat terhadap program imunisasi yang selama ini terbukti berkesan membendung wabak.
Keputusan di peringkat persekutuan dan negeri ini dijangka terus mencetuskan perdebatan antara soal hak kebebasan individu dengan tanggungjawab melindungi kesihatan awam di Amerika Syarikat.
Sumber: Reuters