Felo SMJ bagi peluang belia belajar cara tadbir negeri
TAMBUNAN: Kerajaan melaksanakan pelbagai program bagi memastikan golongan pelajar dan belia tidak tercicir dalam perkembangan teknologi dan mendapat akses kepada bahan dan sumber rujukan pendidikan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, salah satu strategi itu adalah memberikan pendedahan membina potensi diri belia melalui Program Felo Belia Felo Sabah Maju Jaya (Felo SMJ).
“Program ini mahu memberi peluang kepada belia yang terpilih melalui saringan kelayakan untuk mendapat bimbingan langsung daripada menteri dan pengurusan tertinggi kementerian serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.
“Felo Belia SMJ yang terpilih akan ditempatkan sebagai pelatih dalam agensi kerajaan dan GLC selama setahun untuk memberi pendedahan alam kerjaya berkaitan pengurusan sesebuah kementerian dan GLC,” katanya ketika merasmikan Sambutan Program Tambunan Youth Festival Tahun 2022 di sini pada Sabtu.
Program ini sudah bermula awal tahun ini yang dikelolakan Kementerian Belia dan Sukan Sabah bersama Sekretariat Hala Tuju Sabah Maju Jaya, Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) dan Majlis Belia Sabah.
Kitingan mahu para belia merebut peluang ini untuk menimba ilmu dan kerana ini juga cara mereka menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
Menteri Pertanian dan Perikanan ini berkata, kerajaan mahu menambah baik keberkesanan strategi yang memfokuskan pembangunan modal insan di kalangan para belia.
“Kita sentiasa terbuka untuk mendengar aspirasi anak-anak muda. Saya bersikap terbuka untuk menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi yang melibatkan pembangunan generasi muda,” katanya.
Salah satu jalinan itu ialah mengadakan kerjasama bersama Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan Negeri Sabah menerusi inisiatif Youth Agrotech Sabah yang bertujuan meningkatkan pemahaman belia mengenai amalan pertanian baik, teknik pengurusan projek dan membina rangkaian perniagaan di kalangan belia.
Menurut Kitingan, inisiatif baharu juga diperkenalkan kepada kelompok sasar melalui pelbagai platform termasuk latihan kemahiran dalam bidang tekonologi, teknikal dan perdagangan melalui Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM).
Dalam membantu usahawan belia yang terkesan dengan pandemik COVID-19, kerajaan menyediakan skim bantuan dana khusus mereka.
“Selaku wakil rakyat di Tambunan, besar harapan saya agar para belia dapat bersama-sama dengan Kerajaan untuk menjayakan semua rancangan demi mencapai Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.
Mengenai Tambunan Youth Festival, Kitingan mengalu-alukan sambutan ini yang bertujuan mendedahkan peserta terhadap semua program untuk memperkasa jati diri. Progam ini juga memberikan pendedahan kepada anak-anak muda dalam arus perdana pembangunan tanah air.
“Belia adalah aset yang amat penting sebab mereka adalah generasi pewaris masa depan,” katanya.
Program Tambunan Youth Festival 2022 digerakkan oleh anak muda melalui
penghakupayaan kepada Kelab Belia Integrasi Tambunan dan Kelab Belia Integrasi Tambunan dan badan-badan gabungan belia di daerah Tambunan.
– Tv Sabah News
0 Comments