Istanbul: 04 Oktober 2025 -Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan mendesak Israel segera menghentikan serangan ke atas Gaza serta mematuhi pelan gencatan senjata Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang menurutnya disambut Hamas dengan langkah membina dan penting ke arah keamanan berkekalan.
Dalam kenyataan di platform X, Erdogan menegaskan Turkiye akan terus berusaha memastikan rundingan menghasilkan keputusan terbaik untuk rakyat Palestin serta merealisasikan penyelesaian dua negara yang disokong masyarakat antarabangsa.
Beliau turut menekankan keperluan mempercepat penyampaian bantuan kemanusiaan ke Gaza dan menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang disifatkannya sebagai gambaran memalukan dan melukai hati nurani dunia.
Sebelum ini Hamas menyerahkan maklum balas rasmi terhadap pelan Trump dengan persetujuan membebaskan semua tawanan Israel, menyerahkan jenazah mangsa serta pentadbiran Gaza kepada sebuah badan teknokrat Palestin yang bebas.
Trump menetapkan sehingga jam 6 petang waktu Washington pada Ahad untuk Hamas meluluskan pelannya yang antara lain bertujuan menjadikan Gaza zon bebas senjata dengan pemerintahan peralihan dipantau secara langsung oleh beliau melalui sebuah badan antarabangsa.
Pelan itu turut menetapkan pembebasan semua tawanan Israel dalam tempoh 72 jam selepas kelulusan sebagai pertukaran kepada pembebasan ratusan tahanan Palestin di penjara Israel.
Selain itu, pelan berkenaan menggariskan penghentian permusuhan, pelucutan senjata semua kumpulan bersenjata di Gaza serta pengunduran berperingkat Israel dari wilayah itu.
Pentadbiran Gaza selepas pengunduran dijadual ditadbir oleh sebuah pihak berkuasa teknokrat di bawah seliaan badan antarabangsa yang diketuai Presiden AS.
Sejak hampir 18 tahun lalu, Israel mengenakan sekatan ke atas Gaza dan diperketatkan pada Mac apabila lintasan sempadan ditutup serta penghantaran makanan dan ubat-ubatan disekat sehingga mencetuskan krisis kebuluran, manakala sejak Oktober 2023 serangan udara Israel telah membunuh hampir 66,300 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Sumber: Harian Metro
