Oleh: Nurul.N
TAWAU: Enam lelaki termasuk lima warga asing ditahan selepas polis menemukan sebilah parang panjang dan sebatang besi paip bulat di dalam sebuah kereta dalam pemeriksaan di Bandar Tawau, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, tangkapan dilakukan anggota Balai Polis Tawau yang menjalankan rondaan cegah jenayah kira-kira jam 2.20 pagi.
Katanya, pemeriksaan terhadap kenderaan mencurigakan itu menemukan parang panjang dan besi paip bulat yang disimpan di bawah tempat duduk pemandu.
Pemeriksaan lanjut mendapati seorang dari enam lelaki itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Kesemua yang ditahan terdiri dari seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun dan lima warga asing berusia antara 19 hingga 37 tahun yang bekerja sebagai nelayan.
Menurut Rosdi, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan, dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau turut menegaskan polis akan mempergiatkan rondaan dan pemeriksaan untuk membendung kegiatan yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
Sumber: Polis Daerah Tawau
